SUKAN > BERITA

Malaysian Tigress Ledak 8 Gol Dalam 30 Minit Tewaskan Taiwan

13/09/2025 04:27 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept (Bernama) -- Skuad hoki wanita kebangsaan mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan peringkat klasifikasi tempat kelima hingga kelapan Piala Asia Wanita 2025 selepas membelasah Taiwan 8-0 pada perlawanan ketiga di Hangzhou, China, hari ini.

Pada aksi di padang hoki Gongshu Canal Sports Park itu, skuad Malaysian Tigress kendalian Mohd Nasihin Nubli Ibrahim tampil dengan persembahan cemerlang apabila meledak lapan gol dalam 30 minit pertama sekali gus ‘membunuh’ perlawanan lebih awal.

Siti Nur Arfah Mohd Nor membuka pesta jaringan seawal minit ketiga menerusi gol padang sebelum Nur Afiqah Syahzani Azhar menggandakan kedudukan seminit kemudian hasil pukulan sudut penalti.

Nuramirah Shakirah Zulkifli kemudian menambah dua gol berturut-turut pada minit ke-10 dan ke-16, diikuti jaringan kedua Siti Nur Arfah pada minit ke-18.

Gol keenam skuad negara hadir menerusi Nur Aisyah Che Musa pada minit ke-20, disusuli jaringan pukulan sudut penalti Hanis Nadiah Onn seminit kemudian dan gol kedua peribadi Nur Afiqah pada minit ke-29 untuk melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia.

“Kita menghukum pihak lawan dengan permainan yang begitu cemerlang dan gol-gol yang cantik, namun di suku ketiga dan keempat ada dua pemain mengalami kecederaan, selain pemain-pemain mula mengawal tenaga memandangkan mereka harus menyimpan tenaga untuk aksi terakhir.

“Untuk perlawanan terakhir saya harapkan pemain-pemain dapat berikan terbaik sebagaimana mereka berikan sejak awal di kejohanan ini. Mereka harus teruskan semangat perjuangan dan saya percaya mereka boleh lakukan dan beri sehabis baik (all out),” kata Mohd Nasihin dalam klip video kepada media.

Malaysia selepas ini akan bertemu antara Thailand dan Singapura pada aksi penentuan tempat kelima dan keenam, esok.

Pasukan negara sebelum ini gagal menempatkan diri dalam kelompok dua pasukan terbaik untuk mara ke pusingan “Super 4s” selepas menamatkan saingan Kumpulan A di tempat ketiga dengan tiga mata.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam sejarah kejohanan ini ialah menduduki ketiga pada edisi sulung 1985 di Seoul, Korea Selatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan