KUALA NERUS, 12 Sept (Bernama) -- Pemain Terengganu FC (TFC) perlu bangkit memburu gol awal pada aksi kedua Pusingan 16 Piala FA menentang Imigresen FC (IFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) malam esok.
Ketua Jurulatih TFC Badrul Afzan Razali berkata ia bagi menaikkan motivasi pemain selepas ketinggalan 1-2 pada perlawanan pertama di tempat lawan bulan lepas.
Justeru, bekas pemain tengah Terengganu itu menaruh harapan tinggi agar anak buahnya lebih fokus dan memperagakan aksi terbaik bagi memastikan TFC mara ke peringkat suku akhir piala berprestij negara itu.
“Imigresen FC memiliki kelebihan satu gol selepas menang 2-1 tempoh hari. Jadi, jaringan awal amat penting untuk tingkatkan semangat pemain dan pastikan kemenangan.
"Pada perlawanan lepas, kami banyak cipta peluang tetapi gagal diterjemahkan kepada gol. Saya harap kesilapan itu tidak akan berulang. Semua pemain perlu fokus dan disiplin dalam melaksanakan perancangan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Badrul Afzan berkata semua pemain kecuali penyerang import Yan Mabella dan Gabriel Silva dalam keadaan baik serta cergas selepas melalui tempoh rehat agak panjang.
Beliau bagaimanapun berkata barisan kejurulatihan tidak mempunyai masalah untuk memilih pemain bagi menggantikan tempat dua penyerang import utama berkenaan.
“Yan (Yan Mabella) dan Gabi (Gabriel Silva) masih cedera. Tak pasti boleh diturunkan… masih 50-50 tetapi tidak ada masalah. Kami sudah ada bayangan kesebelasan utama yang akan diturunkan. Pemain import baharu… saya difahamkan sedang buat pemeriksaan kesihatan di Kuala Lumpur, tak pasti sempat beraksi pada malam esok atau tidak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan anak buahnya supaya berwaspada ancaman penyerang import Joao Pedro dan Wilmar Jordan yang menjadi rekrut terbaharu skuad Mighty Tigers.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial