SUKAN > BERITA

Ketua Jurulatih Puji Aksi Mantap Pemain TFC Hingga Layak Ke Suku Akhir Piala FA

14/09/2025 11:14 AM

KUALA TERENGGANU, 14 Sept (Bernama) -- Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali memuji anak buahnya kerana menampilkan persembahan mantap sehingga berjaya mara ke suku akhir Piala FA musim ini malam tadi.

Pengendali berusia 49 tahun itu berkata para pemain menunjukkan disiplin tinggi serta semangat untuk menang sejak awal permainan hingga wisel penamat dibunyikan.

Faktor itu, katanya, membolehkan Skuad Penyu menguasai perlawanan dan mendominasi Imigresen FC dari awal hingga akhir sekali gus meraih tiga jaringan tanpa bolos.

“Saya ucap syukur dan tahniah kepada pemain yang berjuang untuk kemenangan. Mereka telah menunjukkan aksi baik dari minit pertama hingga akhir bagi memburu gol.

“Walaupun kita ketinggalan 1-2 pada aksi pertama Pusingan 16 lalu, saya berpuas hati kerana kita bangkit malam ini (malam tadi) untuk mencipta kemenangan, sekali gus layak ke suku akhir Piala FA,” katanya selepas perlawanan kedua Pusingan 16 Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (di sini malam tadi.

TFC melangkah ke suku akhir Piala FA dengan agregat 4-2 selepas menewaskan Imigresen FC 3-0 hasil jaringan Muhammad Akhyar Rashid (dua gol) dan Junior Sam Ngong (satu gol).

Sementara itu, pengendali Imigresen FC Yusri Che Lah berkata kelekaan anak buahnya yang memberi terlalu banyak ruang kepada TFC untuk mengasak menjadi punca mereka tersingkir awal daripada kejohanan.

Selain itu, masalah kecederaan yang membelenggu beberapa pemain utama turut menjejaskan perancangan pasukan.

“Selain masalah keserasian, isu bahasa atau komunikasi juga sedikit sebanyak menjejaskan permainan. Tiga pemain import dari Brazil dan seorang dari Thailand tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

“Perkara ini nampak kecil tetapi sebenarnya memberi kesan besar kerana banyak arahan tidak dapat difahami sepenuhnya. Bagaimanapun, saya tidak salahkan mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan