SUKAN > BERITA

Liga Malaysia 2025/26: FAM Harap Sifar Kesilapan Pengadilan

30/07/2025 07:40 PM

SHAH ALAM, 30 Julai (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) meletakkan harapan agar barisan pengadil mampu mencapai sifar kesilapan dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan, kata Timbalan Presiden FAM Datuk S Sivasundaram.

Sivasundaram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM berkata harapan tersebut bersandarkan kepada pencapaian cemerlang kadar ketepatan pengadilan sehingga 98 peratus yang dicapai pada musim lepas selepas pelaksanaan Sistem Bantuan Video (VAR). 

“Kita boleh cakap sifar isu, tetapi kita harus ingat mereka ini juga manusia, semua akan ada masalah atau apa sahaja yang mungkin dibawa bersama dalam padang...jadi kita berharap yang terbaik,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Pembaharuan Perjanjian Penajaan antara FAM dan Kronos serta pelancaran jersi pengadil Liga Malaysia 2025-2026, di sini hari ini.

Sivasundaram berkata pihaknya menghargai sebarang pandangan dan kritikan pelbagai pihak dalam usaha untuk meningkatkan mutu pengadilan bola sepak tempatan. 

“Dulu saya pernah sebut daripada 208 perlawanan pada musim sebelum ini, kita dapat lima aduan dan daripada itu hanya dua yang disahkan sebagai kesilapan pengadil, manakala tiga lagi bukan...bagaimanapun saya hormat apa-apa pandangan dari semua pihak dan kita ada kelemahan yang kita harus perbaiki,” katanya. 

Sebelum ini, Sivasundaram dilaporkan berkata berdasarkan laporan lengkap daripada Penilai Pengadil (RA) pada musim lepas mencatatkan ketepatan keputusan pengadil meningkat kepada 98.07 peratus, berbanding 88.76 peratus pada musim 2023–2024.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan