KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Selangor FC yakin mampu mencapai sasaran utama yang ditetapkan bagi musim ini bersandarkan usaha berterusan dalam memperkukuh prestasi skuad Gergasi Merah itu dari semasa ke semasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC Dr Johan Kamal Hamidon menegaskan bahawa semua pihak dalam kelab kekal komited untuk memberikan persembahan terbaik secara konsisten, dengan matlamat memastikan pencapaian musim ini mengatasi prestasi musim lepas.
“Kita perlu bersikap realistik memandangkan saingan dalam liga sangat kompetitif. Dalam dua musim lepas, kita berjaya merapatkan jurang dengan pasukan juara, Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Justeru, saya berharap momentum ini dapat diteruskan kerana kita percaya masih mempunyai peluang baik untuk mencabar kejuaraan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perkongsian Strategik Antara Selangor FC dan Provident Fiduciaries di sini hari ini.
Beliau berkata sasaran utama pasukan kekal sama iaitu ke arah menamatkan saingan dalam kelompok dua teratas Liga Super, mara ke pentas akhir Piala Malaysia dan Piala FA serta melangkah ke pusingan kalah mati kejohanan serantau.
Johan berkata meskipun pasukan lain turut melakukan persiapan pramusim dengan baik, Selangor yakin mampu bersaing dengan lebih berdaya saing musim ini.
Selangor yang kini dibimbing jurulatih Katsuhito Kinoshi, kali terakhir menjuarai Liga Super pada 2010, Piala Malaysia pada 2015 dan Piala FA pada 2009.
Musim lepas, skuad Merah Kuning yang memegang rekod 33 gelaran Piala Malaysia hanya meraih trofi Piala Cabaran selepas menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM FC) di pentas final.
Selangor berpeluang membuka tirai musim ini dengan menjulang trofi Piala Sumbangsih apabila berdepan JDT pada aksi pembukaan Liga Malaysia 2025 yang dijadual berlangsung pada 8 Ogos.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial