SUKAN > BERITA

MFL Optimis Sambutan Liga Super Kekal Positif

31/07/2025 08:04 PM

KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Liga Bolasepak Malaysia (MFL) kekal yakin saingan Liga Super musim 2025/2026 akan terus mendapat sambutan memberangsangkan daripada penyokong walaupun tanpa kehadiran beberapa pasukan tradisi yang sebelum ini mewarnai liga.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata meskipun wujud kebimbangan susulan ketiadaan pasukan seperti Kedah Darul Aman FC, Sri Pahang FC dan Perak FC, trend semasa menunjukkan sokongan terhadap Liga Malaysia (Liga-M) masih berada pada landasan positif.

"Saya percaya tanggapan negatif ini timbul kerana kehilangan beberapa pasukan besar dalam liga. Namun, hakikatnya penglibatan kelab bersama penyokong dan kehadiran dalam aksi pramusim masih memberangsangkan.

“Berdasarkan pemerhatian kami terhadap beberapa perlawanan pramusim yang sedang berlangsung, penyokong tetap turun ke stadium memberi sokongan kepada pasukan masing-masing. Ini menunjukkan minat terhadap liga masih kukuh,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran musim baharu  Astro X Liga Malaysia, di sini hari ini.

Saingan Liga-M musim baharu dijadual membuka tirai pada 8 Ogos ini menerusi aksi Piala Sumbangsih yang menemukan juara bertahan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Bahru.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shazli memaklumkan proses pendaftaran pemain kini berada di fasa akhir yang membabitkan semua pasukan bertanding musim ini.

“Kita sedang melengkapkan dokumen bagi tujuan kelulusan pendaftaran sebelum ia diserahkan kepada Unit Pertandingan oleh Unit Perlesenan.

“Langkah terakhir adalah saringan ke atas pemain untuk memastikan mereka layak didaftarkan dan dibenarkan beraksi dalam liga,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan