SUKAN > BERITA

MAS Buru Perenang Warisan, Ikut Jejak Langkah Singapura

28/06/2025 06:32 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun (Bernama) -- Akuatik Malaysia (MAS) memperhebat usaha mengenal pasti dan merekrut perenang warisan bagi memperkukuh skuad kebangsaan menerusi pendekatan yang turut diguna Singapura.

Pengerusi Renang MAS Marilyn Chua berkata usaha tersebut membabitkan pencarian bakat dalam kalangan rakyat Malaysia yang menetap di luar negara dan mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan program renang negara.

"Ya, sudah tentu. Sejak beberapa tahun lalu, kami menerima maklum balas positif daripada beberapa rakyat Malaysia di luar negara yang menunjukkan minat.

"Sehingga kini, kami telah mengenal pasti sekitar lima perenang berusia antara 14 hingga 19 tahun," katanya kepada media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Akuatik Malaysia (MAS) di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini hari ini.

Penggunaan atlet warisan bukanlah perkara baharu dalam sukan negara, khususnya bola sepak yang telah lama mengguna pakai pendekatan itu bagi memperkuat skuad kebangsaan.

Mengulas lanjut, Marilyn yang juga Timbalan Presiden MAS menegaskan bahawa perenang warisan perlu membuktikan kemampuan mereka untuk mewakili negara.

Katanya pemilihan hanya akan dibuat sekiranya perenang berkenaan memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan MAS.

"Sukan renang sangat objektif kerana ia berdasarkan catatan masa. Jika mereka memenuhi standard masa yang ditetapkan, mereka akan dipilih berdasarkan merit.

"Mereka perlu memenuhi kriteria yang ditetapkan dan juga bersaing dengan perenang tempatan dari segi ranking," katanya.

Dalam AGM tersebut, Andy Low dan Yan Kong Lee secara rasmi menerima mandat daripada Presiden MAS, Datuk Seri Shahidan Kassim untuk menggalas jawatan Setiausaha Agung dan Bendahari.

Sementara itu, lima jawatan Ahli Jawatankuasa yang dipertandingkan dimenangi oleh Tasha Jane Taher Ali, Goh Kah Yo, Chee Pao Kam, Haris Lua Abdullah dan Sung Jun Hao.

Terdahulu, Shahidan bersama Marilyn, Anthony Ang (Naib Presiden) dan Nurul Huda Abdullah (Penolong Setiausaha) menang tanpa bertanding bagi jawatan masing-masing.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan