SUKAN > BERITA

Shahidan Kekal Terajui Akuatik Malaysia

19/06/2025 09:06 PM

KUALA LUMPUR, 19 Jun (Bernama) --     Datuk Seri Shahidan Kassim terus diberi mandat untuk menerajui Akuatik Malaysia (MAS) bagi penggal 2025–2027 apabila beliau mengekalkan jawatan Presiden tanpa dicabar menjelang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan induk itu yang dijadual berlangsung pada 27 Jun ini.

Perkara itu disahkan Setiausaha Agung MAS Andy Low yang memaklumkan tiada pencalonan lain diterima untuk jawatan tertinggi itu selepas proses pencalonan ditutup pada 13 Jun lepas.

“Datuk Seri Shahidan akan terus memimpin MAS untuk satu lagi penggal selepas tiada pencabar yang tampil untuk merebut jawatan tersebut,” katanya pada sidang media di Stadium Akuatik Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Turut menang tanpa bertanding ialah Timbalan Presiden Marilyn Chua Yu Ching; Naib Presiden Anthony Ang Kang Keam dan Penolong Setiausaha Nurul Huda Abdullah yang juga tidak menerima sebarang tentangan.

Menurut Andy hanya jawatan Ahli Jawatankuasa akan menyaksikan pertandingan selepas enam pencalonan diterima bagi mengisi lima kekosongan yang ada.

Untuk rekod, Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau telah menerajui MAS sejak tahun 1995, ketika badan induk itu masih dikenali sebagai Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM).

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan