JERTIH, 29 Jun (Bernama) -- Ibu kepada Allahyarham Nurly Sahirah Azman, seorang daripada mangsa kemalangan ngeri di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di Gerik pada 9 Jun lepas meminta orang ramai yang menziarahi pusara anaknya supaya menjaga adab dengan tidak melakukan perbuatan syirik dan khurafat.
Kamariah Abdul Latif, 60, berkata dalam usaha menghalang perkara itu, keluarganya kini terpaksa memasang tali penghadang di pusara Allahyarham di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, Kerandang di sini.
"Kami letak tali itu sebab ada yang datang ambil tanah dan cium batu nisan. Saya nasihatkan orang ramai yang datang jagalah adab ketika berada di kubur dan elakkan perbuatan syirik dan khurafat," katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Gong Pasir, Kerandang, di sini hari ini.
Kamariah berkata selain itu, pihak keluarga juga memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak mengangkat dan mengusik naskhah al-Quran lengkap tulisan tangan Allahyarham Nurly Sahirah yang diletakkan di pekarangan rumah bagi mengelakkan daripada koyak dan sebagainya.
"Saya jaga supaya tidak ada yang datang membelek helaiannya, selain ada sebahagian orang pula datang serta cium al-Quran ini, jadi saya bimbang tulisannya terjejas dan tanggal. Ini sahaja kenangan yang saya ada,” katanya.
Tinjauan Bernama hari ini di Kampung Gong Pasir, Kerandang mendapati orang ramai termasuk dari Kedah, Pahang, Kuala Lumpur dan Kelantan tidak putus-putus menziarahi keluarga Allahyarham Nurly Sahirah meskipun setelah hampir tiga minggu nahas ngeri berkenaan berlaku.
Allahyarham Nurly Sahirah antara 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam kemalangan berkenaan apabila bas yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di JRTB berhampiran Tasik Banding, Gerik, manakala 33 lagi cedera termasuk pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial