SUKAN > BERITA

Atlet Tidak Perlu Takut - Karim

23/06/2025 11:17 AM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Presiden Olahraga Malaysia (MA) baharu Datuk Karim Ibrahim menasihatkan atlet agar tidak dibelenggu rasa takut dalam menghadapi sebarang kemelut atau isu yang melanda skuad olahraga.

Beliau berkata MA sentiasa komited menyokong atlet yang disifatkannya sebagai nadi utama kemajuan sukan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Jangan biarkan diri dibelenggu ketakutan. Saya ingin tegaskan bahawa saya akan terus mempertahankan atlet dan tidak sekali-kali mengetepikan mereka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata adalah tidak wajar sekiranya mana-mana atlet dipinggirkan kerana isu luar yang berpotensi menjejaskan tumpuan mereka.

Kem olahraga negara tidak pernah lekang daripada kontroversi dan isu boikot latihan dikendalikan Pengarah Teknikal MA Robert Ballard antara yang mendapat perhatian media tahun ini.

Media sebelum ini melaporkan beberapa atlet pecut memboikot program latihan oleh Ballard dan menerima ugutan dibuang daripada program sekiranya mereka meluahkan ketidakpuasan hati mengenai cara pengurusan warga Australia itu.

Karim yang juga Presiden Persatuan Olahraga Amatur Perak kembali memegang tampuk kepimpinan MA bagi penggal 2025-2029, selepas memenangi pemilihan dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) pada 15 Jun lepas.

Karim yang pernah memegang jawatan itu dari 2014 hingga 2019 berjaya meraih 25 undi untuk menewaskan pencabarnya Presiden Olahraga Negeri Sembilan Datuk Mark William Ling, yang memperoleh 14 undi.

Pada masa sama, Karim turut menyatakan komitmen untuk memberikan lebih banyak pendedahan kepada atlet olahraga dalam usaha membantu mereka mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.

Mengenai sasaran Sukan SEA 2025 di Thailand, Karim berkata MA akan berusaha memastikan atlet dapat melepasi kutipan lima pingat emas diraih ketika Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Bagaimanapun, beliau berkata MA perlu meneliti statistik pencabar dari Asia Tenggara terlebih dahulu sebelum memaklumkan sasaran pingat pada edisi di Thailand, hujung tahun ini.

Sukan SEA 2025 dijadualkan berlangsung di Bangkok, Chonburi dan Songkhla dari 9 hingga 20 Dis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan