KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) meletakkan sasaran minimum untuk mara ke pentas final bagi skuad ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki kebangsaan pada temasya Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini.
Timbalan Presidennya Mohd Azmir Zainul Abdin berkata keputusan itu dibuat berdasarkan prestasi semasa skuad Bunga Raya 7s yang menunjukkan peningkatan konsisten, meskipun Thailand dijangka menjadi pencabar utama selaku tuan rumah.
"Kita tidak menolak peluang untuk memburu emas, namun buat masa ini sasaran ke final adalah lebih realistik dan tidak memberi tekanan berlebihan kepada pemain.
"Bagi skuad wanita pula, kami menyasarkan kedudukan tiga terbaik," katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian antara KRM dan Agym Nutrition, di Semenyih, dekat sini, hari ini.
Katanya anak buah ketua jurulatih Nik Safuan Ismade Nik Man akan mengharungi beberapa perlawanan ujian antarabangsa menjelang temasya sukan dwitahunan itu dari 9 hingga 20 Dis ini bagi mengukur tahap kesiapsiagaan lebih awal.
Malaysia sebelum ini meraih perak pada edisi 2015 di Singapura dan menebus kehampaan dengan emas ketika menjadi tuan rumah pada 2017, sebelum sekali lagi membawa pulang perak di Filipina pada 2019.
Acara itu tidak dipertandingkan pada edisi 2021 (Vietnam) dan 2023 (Kemboja).
Skuad wanita pula meraih gangsa pada edisi 2017 dan 2019.
Sementara itu, Nik Safuan optimis anak buahnya mampu menepati sasaran yang ditetapkan, walaupun mengakui Thailand merupakan pencabar utama dalam misi memburu emas.
“Thailand telah menjalani latihan intensif sejak dua tahun lalu dan pada Kejohanan Tujuh Sebelah Asia Tenggara (SEA 7s) 2025 di Singapura, kita tewas tipis kepada mereka.
“Namun, saya yakin kita mampu memperbaiki kesilapan lalu dan tidak mustahil untuk mencipta kejutan,” katanya.
Bagi persiapan, skuad negara akan menyertai kejohanan empat penjuru menentang Hong Kong, Thailand dan Singapura di Bangkok pada Ogos, sebelum beraksi dalam Siri Asia di Hangzhou, China, September ini.
Dalam perkembangan lain, KRM turut memeterai kerjasama bersama Agym Nutrition yang akan menaja rangkaian produk pemakanan sukan seperti whey protein dan creatine bernilai hampir RM1 juta bagi tempoh tiga tahun untuk semua skuad kebangsaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial