SUKAN > BERITA

Liek Hou Terus Unggul, Rangkul Dua Gelaran Para Asia Di Thailand

22/06/2025 09:30 PM

KUALA LUMPUR, 22 Jun (Bernama) -- Jaguh para badminton negara Cheah Liek Hou terus mengukuhkan reputasinya selaku pemain nombor satu dunia apabila merangkul dua gelaran di Kejohanan Badminton Para Asia 2025 yang berlangsung di Korat, Thailand, hari ini.

Liek Hou, yang turun dalam kategori SU5 (kecacatan fizikal), terlebih dahulu meraih kejuaraan perseorangan lelaki selepas menewaskan seteru utama dari Indonesia, Dheva Anrimusthi dalam aksi sengit tiga set, 21-19, 15-21, 21-18 yang berlangsung selama hampir sejam.

Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik dua kali itu kemudian menambah koleksi kejuaraan apabila bergandingan bersama Muhammad Fareez Anuar dalam acara beregu lelaki SU5 untuk mudah menumpaskan pasangan India, Hardik Makkar-Ruthick Ragupathi 21-14, 21-8.

Turut menyinar ialah wakil perseorangan lelaki SL4 (kecacatan fizikal) Mhd Amin Burhanuddin yang muncul juara  selepas menumpaskan pemain dari India, Surya Kant Yadav 23-21, 21-15.

Sementara itu, Muhammad Ikhwan Ramli yang bersaing dalam kategori WH1 (berkerusi roda) terpaksa berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas tunduk kepada pemain China, Qu Zi Mo 9-21, 16-21 dalam aksi final.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan