SUKAN > BERITA

Amorim Tersipu-Sipu “Alarm” Telefon Ganggu Sidang Media Manchester United, ASEAN All-Stars

27/05/2025 07:02 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Sidang media praperlawanan menjelang perlawanan Piala Cabaran Maybank antara Manchester United dan ASEAN All-Stars menjadi gamat seketika apabila ketua jurulatih kelab popular itu, Ruben Amorim mencuri tumpuan apabila “alarm” telefon bimbitnya berbunyi.

Insiden itu berlaku apabila telefon bimbit jurulatih berusia 40 tahun dari Portugal itu berbunyi semasa Presiden Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) Mejar Jeneral Khiev Sameth sedang bercakap dalam sesi media berkenaan.

Semua mata tertumpu kepada Amorim yang mengendalikan situasi itu sebelum sidang media diteruskan. 

Detik mencuit hati itu menyebabkan ramai tersenyum sekali gus menyuntik sediktit elemen lucu. 

Bercakap kepada pemberita selepas sidang media itu, Amorim berkata gangguan itu berpunca daripada penggera rumahnya.

“Saya mohon maaf … bila saya tiada di rumah, saya tetap memantau anak-anak saya,” katanya sambil tersipu-sipu.  

Pertemuan antara Manchester United dan ASEAN All-Stars dijadual berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Kali terakhir pasukan Red Devils beraksi di Malaysia ketika jelajah pramusim 2009, menewaskan Malaysia XI sebanyak dua kali, masing-masing dengan jaringan 3-2 dan 2-0 pada 18 dan 20 Julai. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan