KUALA LUMPUR, 2 Jun (Bernama) -- Pemain sayap negara Muhammad Safawi Rasid bersedia menerima cabaran baharu apabila diberi tugasan bermain di posisi penyerang pada perlawanan antarabangsa bersama Harimau Malaya.
Muhammad Safawi berkata perlawanan antarabangsa Tier 1 menentang Cape Verde minggu lepas adalah pengalaman pertama beliau beraksi di posisi penyerang bersama pasukan negara.
Bagaimanapun, beliau yang lebih kerap diturunkan di bahagian sayap dan tengah sebelum ini tidak menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan peranan baharu itu.
“Bagi saya, tidak ada masalah untuk bermain di posisi penyerang sebab mungkin jurulatih lebih tahu apa yang saya buat dalam latihan. Jadi, saya ambil tanggungjawab malam itu untuk buktikan sesuatu. Alhamdulillah, kita dapat keputusan yang baik,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan pasukan negara di sini hari ini.
Pemain berusia 28 tahun itu diturunkan dalam kesebelasan utama, bergandingan dengan Mohamad Faisal Abdul Halim dan Arif Aiman Mohd Hanapi di bahagian serangan ketika Malaysia mengikat Cape Verde 1-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis lepas.
Sementara itu, Muhammad Safawi menganggap kehadiran pemain warisan bersama pasukan negara sesuatu yang bagus bagi mewujudkan suasana persaingan sihat dalam kalangan pemain.
“Saya tidak ada masalah. Tidak kira pemain tempatan, naturalisasi ataupun siapa-siapa pun. Bagi saya dalam latihan kena bagi 100 peratus dan tiada alasan. Saya tiada masalah untuk bersaing dalam latihan,” katanya.
Media tempatan hari ini melaporkan tiga pemain warisan baharu akan tiba di Malaysia menjelang perlawanan bertemu Cape Verde malam esok.
Tiga pemain yang dinyatakan ialah penyerang Rodrigo Holgado dari Amerika Syarikat, pemain pertahanan kelab Azerbaijan Sabah FC Jon Irazabal dan penyerang Olympiacos Jefte Betancor yang kini dipinjamkan di Panserraikos.
Malaysia akan bertemu Cape Verde dalam aksi persahabatan tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini esok, sebelum membuat perhitungan dengan Vietnam pada aksi Kumpulan F pusingan kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional pada Selasa depan.
Vietnam dan Malaysia berkongsi kedudukan teratas kumpulan dengan mengumpul tiga mata selepas memenangi perlawanan pembukaan masing-masing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial