KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) Manchester United selamat tiba di ibu kota hari ini menjelang aksi persahabatan menentang ASEAN All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Rabu.
Ketibaan skuad Red Devils bimbingan Rubern Amorim dengan 32 pemain yang terlibat dalam siri jelajah pascamusim itu disambut meriah peminat tegar yang mula berkampung di sebuah hotel di sini sejak 5 petang tadi.
Antara pemain terlibat Andre Onana, Altay Bayindir dan Tom Heaton yang bermain di posisi penjaga gol.
Pemain yang bermain di posisi pertahanan membabitkan Harry Amass, Dan Armer, Diogo Dalot, Matthijs de igt, Patrick Chinazaekpere Dorgu, Jonny Evans, Tyler Fredricson, Ayden Heaven, Jaydan Kamason, Godwill Kukonki, Harry Maguire, Reece Munro dan Luke Shaw.
Sementara Casemiro, Toby Collyer, Bruno Fernandes, Tyler Fletcher, Sekou Kone, Kobbie Mainoo, Jack Moorhouse, Mason Mount, Jim Thwaites dan Manuel Ugarte bermain di posisi tengah.
Pemain di posisi penyerang pula terdiri daripada Alejandro Garnacho, Amad, Rasmus Hojlund, Shea Lacey, Chido Obi, dan Joshua Zirkzee.
Kali terakhir Manchester United beraksi di Malaysia ialah pada siri jelajah pramusim 2009, menewaskan Malaysia XI dua kali, 3-2 dan 2-0, masing-masing pada 18 dan 20 Julai di SNBJ.
Terdahulu, pasukan itu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 6.30 petang usai perlawanan terakhir EPL musim 2024/2024 dengan kemenangan ke atas Aston Villa 2-0 semalam.
Juara EPL sebanyak 13 kali itu juga akan berkunjung ke Hong Kong untuk menentang pasukan negara itu di Stadium Hong Kong pada 30 Mei ini.
Lima pemain skuad kebangsaan akan menyertai ASEAN All-Stars bagi aksi menentang United iaitu Muhammad Azam Azmi Murad (Terengganu FC), Muhammad Adib Abdul Ra’op (Penang FC), Muhammad Haziq Nadzli (Perak FC), Declan Lambert (Kuala Lumpur City FC) dan Sergio Aguero (Sri Pahang FC).
Mereka akan berada di bawah bimbingan jurulatih Kim Sang Sik dari Korea Selatan yang membawa Vietnam menjuarai Kejohanan ASEAN 2024.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial