SUKAN > BERITA

MALAYSIA JULUNG KALI TUAN RUMAH ASIA-PACIFIC TREE CLIMBING CHAMPIONSHIP 2024

26/04/2024 05:37 PM

KUANTAN, 26 April (Bernama) -- Malaysia buat julung kalinya menjadi tuan rumah bagi acara Asia-Pacific Tree Climbing Championship (APTCC) 2024 yang berlangsung selama empat hari bermula semalam di Kelab Golf Diraja Pahang di sini.

Naib Presiden Persatuan Arborist Malaysia (PArM) Nik Ikmal Fathi Nik Husain Fathi berkata 51 peserta dari Australia, Hong Kong, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Singapura, Taiwan, Thailand dan Malaysia berentap dalam kejohanan kali ke-15 itu.

Malaysia menghantar tujuh wakil iaitu lima lelaki dan dua wanita yang merupakan pemenang Malaysia Tree Climbing Championship 2023 di Putrajaya pada September tahun lepas.

Menerusi kejohanan yang dianjurkan International Society of Arboriculture (ISA) dengan kerjasama PArM itu, Nik Ikmal berkata peserta akan mengambil bahagian dalam lima kategori iaitu Aerial Rescue, Work Climb, Ascent, Belayed Speed Climb dan Throwline.

"Pemenang APTCC di sini akan dibawa menyertai kejohanan memanjat pokok antarabangsa di Amerika Syarikat pada Oktober nanti,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian APTCC 2024 oleh Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man di sini hari ini.

Turut mengambil bahagian dalam pertandingan itu ialah juara dunia International Tree Climbing Championship (ITCC) 2022 dan 2023, Barton Allen-Hall dan naib juara ITCC 2023 Jack Lewis, kedua-duanya dari Australia.

Nik Ikmal Fathi berkata penganjur telah menetapkan beberapa kriteria pokok yang akan dipanjat antaranya tidak berpenyakit dan mempunyai ketinggian sesuai dengan cabaran dipertandingkan.

"Kita pilih lima pokok untuk lima kategori dipertandingkan, satu perkara unik sebab sebelum ini pertandingan di negara luar pokok agak berlainan dan bila mereka datang ke Malaysia, pokok kita lain dari segi kulit dan strukturnya, jadi bagi cabaran baharu untuk mereka,” katanya.

Jumlah markah dari semua lima acara akan digabungkan untuk menentukan peserta lelaki dan wanita yang akan mara ke Cabaran Master.

Menerusi Cabaran Master, peserta akan dinilai berdasarkan teknik dan kecekapan mereka dengan juara lelaki dan wanita APTCC akan ditentukan berdasarkan markah tertinggi dalam pusingan ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan