SUKAN > BERITA

JAEHONG MAIH BELUM PASTI BARISAN UTAMA KELANTAN

24/04/2024 01:17 AM

KOTA BHARU, 23 April (Bernama) -- Perlawanan pramusim menentang Sri Pahang FC di Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam esok akan berperanan penting sebagai penilaian bagi semua pemain Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) memburu tempat dalam kesebelasan utama pasukan bagi Liga Malaysia (Liga-M) bermula bulan depan.

 Ketua jurulatih Park Jaehong, yang dilantik Jumaat lalu, mengakui bahawa beliau masih belum menentukan barisan kesebelasan utama bagi saingan Liga Super.

"Baru kurang dari seminggu sejak kami mula sesi latihan dan saya masih dalam proses memilih barisan utama. Aksi malam esok penting untuk saya membuat keputusan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Menyedari prestasi konsisten Sri Pahang FC musim lalu, Jaehong menjangkakan perlawanan kompetitif dan memberi cabaran bernilai kepada anak buahnya sebelum saingan liga bermula.

Pengendali dari Korea Selatan itu berkata perlawanan itu akan membantu beliau melihat dan menganalisis tahap kecergasan semua pemain serta mengenal pasti bahagian yang perlu diperbaiki menjelang musim baharu liga.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan