INSIDEN HON KETIKA PENGEBUMIAN: KERTAS SIASATAN LENGKAP, TUNGGU BAHAGIAN PERUNDANGAN

07/05/2024 12:41 AM

GEORGE TOWN, 6 Mei (Bernama) -- Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kejadian kekecohan ketika upacara pengebumian Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli, di Masjid Jamek Sungai Nibong pada 24 April, seperti yang tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Razlam Ab Hamid berkata kertas siasatan kes itu, dihantar ke Bahagian Perundangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri untuk penilaian sebelum tindakan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan (Khianat).

“Siasatan kes itu dah selesai dan sehingga semalam kita terima satu laporan polis dari pemandu kereta yang merupakan lelaki tempatan berusia 46 tahun dan lima lagi laporan polis dari orang awam berhubung kejadian tersebut.

“Kita telah serahkan kertas siasatan kes itu kepada Bahagian Perundangan (JSJ Pulau Pinang) dan seterusnya kita tunggu tindakan selanjutnya (sama ada pendakwaan di bawah seksyen berapa),” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pulau Pinang di sini, malam ini.

Majlis sambutan tersebut yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak dan isteri Toh Puan Khadijah Mohd Noor itu, dimeriahkan dengan lebih 1,000 pegawai dan angota polis termasuk Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad dan Timbalannya Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin.

Satu rakaman video tular pada 24 April, memaparkan kereta yang dipandu oleh seorang lelaki dilihat dikerumuni orang ramai, selepas didakwa membunyikan hon hingga berlaku kekecohan ketika upacara pengebumian Muhammad Firdaus berlangsung.

Susulan itu, polis mengesahkan menerima laporan daripada pemandu tersebut yang mendakwa keretanya telah dilanggar oleh motosikal ketika berada di jalan raya berhadapan masjid itu kira-kira 7.45 malam.

Muhammad Firdaus, 44, merupakan antara 10 tentera yang maut dalam tragedi nahas dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut TLDM di Lumut, Perak pada 23 April.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan