KUALA LUMPUR, 23 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi dagangan pagi dengan lebih rendah, dipengaruhi oleh penjualan berterusan dalam saham wajaran tinggi terpilih dalam persekitaran sentimen pasaran serantau yang memberangsangkan.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.18 mata kepada 1,670.11 daripada 1,671.29 ketika ditutup pada Isnin.
Indeks penanda aras itu dibuka 2.51 mata lebih rendah kepada 1,668.78, bergerak antara 1,666.96 dan 1,672.33 pada sesi dagangan berkenaan.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 430 berbanding 343, manakala 571 kaunter tidak berubah, 1,430 kaunter tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.0 bilion unit bernilai RM739.89 juta.
Public Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan hari ini berkata pasaran Asia terus meningkat dengan Indeks Kospi Korea Selatan dan Indeks Hang Seng Hong Kong masing-masing meningkat 0.34 peratus dan 0.18 peratus.
Selain itu, ia berkata Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) telah memulakan pembelian pengurusan rizab AS$40 bilion yang akan menyediakan kecairan kepada pasaran kerana institusi kewangan dan peserta pasaran boleh meminjam dana jangka pendek selepas tempoh pengetatan.
Antara saham wajaran tinggi, Maybank meningkat dua sen kepada RM10.50, CIMB melonjak satu sen kepada RM8.16, Tenaga Nasional naik enam sen kepada RM13.60, Public Bank merosot satu sen kepada RM4.52 dan IHH Healthcare turun dua sen kepada RM8.60.
Bagi saham paling aktif, VS Industry naik 1.5 sen kepada 49.5 sen, Tanco menambah tiga sen kepada RM1.16 dan Zetrix AI menokok setengah sen kepada 81 sen, manakala Pharmaniaga dan TWL tidak berubah masing-masing pada 28 sen dan 2.5 sen.
Saham paling untung menyaksikan Nestle melonjak 50 sen kepada RM115.40, PPB naik 32 sen kepada RM10.94, Ajinomoto menambah 16 sen kepada RM13.80 dan Southern Acids meningkat 11 sen kepada RM3.18.
Untuk saham paling rugi pula, BLD Plantation merosot 50 sen kepada RM15.30, Petronas Gas dan United Plantations turun 34 sen masing-masing kepada RM17.76 dan RM29.56, manakala MISC menguncup 18 sen kepada RM7.51 dan Ralco susut 14 sen kepada 72 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 2.17 mata kepada 12,262.02, Indeks FBMT 100 susut 2.70 mata kepada 12,059.74, Indeks FBM Emas Shariah kurang 1.40 mata kepada 12,060.99 dan Indeks FBM ACE turun 3.51 mata kepada 4,822.39.
Bagaimanapun, Indeks FBM 70 melonjak 22.67 mata kepada 16,847.40.
Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 28.34 mata kepada 8,208.22, Indeks Tenaga berkurangan 0.56 mata kepada 765.62, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 6.39 mata kepada 19,615.25 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.11 mata kepada 172.52.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial