KOTA BHARU, 23 Dis (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun dikhuatiri lemas ketika mandi di Pantai Kemayang, Bachok, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bachok Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata mangsa dikenali sebagai Muhamad Irfan Mohd Afendi.
Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 7.15 malam, sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi.
“Jentera bomba tiba pada 7.25 malam dan mendapati seorang kanak-kanak lelaki dipercayai lemas di kawasan berkenaan dan operasi mencari dan menyelamat segera dijalankan dengan anggota melaksanakan pencarian di permukaan air di sekitar pesisir pantai bagi mengesan kanak-kanak berkenaan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Ahmad Ridhuan berkata Pasukan Penyelamat di Air daripada BBP Pengkalan Chepa turut digerakkan bagi membantu operasi berkenaan.
“Setakat ini operasi masih diteruskan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.
Sementara itu, seorang saksi Suzilawati Noorrashid, 24, berkata ketika kejadian mangsa mandi bersama dua adiknya Muhammad Harith Firdaus, 12, dan Nur Ayra Damia, 4.
Beliau berkata keadaan ombak yang semakin kuat dan berangin, menyebabkan mereka yang berada di pantai mula naik ke darat.
“Saya perasan mangsa berada di bahagian belakang dan sedang menuju ke darat, namun ombak kuat tiba-tiba menariknya ke belakang.
“Seorang pengunjung cuba menyelamatkan mangsa tetapi gagal kerana terdapat batu di tebing dan tidak dapat mencapai tangannya,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial