PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari

22/07/2025 04:09 PM

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri sesi pagi 0.36 peratus lebih rendah pada Selasa, menjejaki pasaran global bercampur-campur apabila sentimen pelabur bertukar menjadi berhati-hati dalam persekitaran ketegangan perdagangan baharu akibat cadangan Amerika Syarikat (AS) untuk mengenakan tarif 15 hingga 20 peratus ke atas import Kesatuan Eropah.

Pada pukul 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 5.56 mata kepada 1,519.03 daripada 1,524.59 ketika ditutup semalam.

Indeks itu dibuka 1.70 mata lebih tinggi kepada 1,526.29 dan bergerak antara 1,518.75 hingga 1,527.90 sepanjang sesi pagi.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 524 berbanding 276 manakala 458 kaunter kekal tidak berubah, 1,221 kaunter tidak diniagakan dan tujuh yang lain digantung.

Jumlah dagangan mencecah 1.81 bilion unit bernilai RM982.47 juta.

Di seluruh rantau ini, Indeks Hang Seng Hong Kong susut 0.07 peratus kepada 24,975.46, Indeks Straits Times Singapura turun 0.21 peratus kepada 4,198.13, Kospi Korea Selatan merosot 1.63 peratus kepada 3,158.58 dan Nikkei Jepun semula 225 menguncup 0.53 peratus kepada 39,608.87.

Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikan berkata walaupun penyiasatan yang sedang berjalan terhadap Sunway Construction dan Sunway Bhd berhubung projek pusat data, kaunter tersebut kekal disokong oleh asas yang kukuh, nilai perolehan kontrak yang kukuh dengan keterlihatan pendapatan sehingga tiga tahun dan pengembangan berterusan industri pusat data Malaysia.

"Pelabur juga boleh mempertimbangkan penggiat pembinaan berpangkalan di Sarawak seperti CMSB dan Ibraco, dijangka mendapat manfaat daripada pembangunan infrastruktur negeri itu," katanya.

Ia berkata kelewatan kerajaan dalam melaksanakan subsidi bersasar RON95 mungkin akan memihak kepada saham berkaitan pengguna, antaranya ialah Mr DIY dan 99 SpeedMart sebagai pilihan utamanya.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut satu sen kepada RM9.51, Public Bank turun tiga sen kepada RM4.27, Tenaga Nasional jatuh dua sen kepada RM13.76, IHH Healthcare berkurangan empat sen kepada RM6.59 manakala CIMB Group menambah empat sen kepada RM6.56.

Bagi saham aktif, Zetrix turun 0.5 sen kepada 93 sen, NexG menambah 0.5 sen kepada 51 sen, Tanco meningkat satu sen kepada 91.5 sen, Pharmaniaga tidak berubah pada 22 sen manakala Icents dan CPE Technology menokok 3.5 sen masing-masing kepada 41 sen dan 31 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 43.39 mata kepada 11,418.54, Indeks FBMT 100 merosot 43.46 mata kepada 11,181.36, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 50.49 mata kepada 11,459.22, Indeks FBM 70 jatuh 75.60 mata kepada 16,564.28 dan Indeks FBM ACE susut 29.95 mata kepada 4,607.73.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan berkurangan 34.60 mata kepada 17,285.80, Indeks Tenaga susut 1.73 mata kepada 737.77, Indeks Perladangan merosot 13.91 mata kepada 7,407.13, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 1.34 mata kepada 154.30.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan