SHIZUOKA (Jepun), 23 Julai (Bernama-Kyodo) -- Pengerusi syarikat pengeluar kit model plastik Jepun, Tamiya Inc. Shunsaku Tamiya yang terkenal dengan kereta kawalan jauh dan model Mini 4WD (pacuan empat roda) telah meninggal dunia, menurut syarikat itu pada Selasa.
Beliau berusia 90 tahun, lapor Kyodo News.
Tamiya, yang meninggal dunia pada Jumaat atas sebab yang tidak didedahkan, dikenang atas sumbangannya menaikkan profil global syarikat permainan yang berpusat di Shizuoka itu. Walaupun upacara pengebumian telah diadakan secara tertutup oleh ahli keluarga terdekat, syarikat itu merancang untuk menganjurkan acara peringatan khas.
Anak jati Shizuoka itu telah lama berkhidmat sebagai presiden syarikat, membantu meningkatkan reputasi kampung halamannya dalam industri model plastik melalui pameran perdagangan dan acara hobi, menurut syarikat berkenaan.
Selepas menamatkan pengajian dari Universiti Waseda, Tokyo pada 1958, beliau menyertai Tamiya Shoji & Co., yang ketika itu dikendalikan oleh bapanya, Yoshio.
Tamiya menjadi presiden syarikat itu pada 1984 dan kemudiannya dilantik sebagai pengerusi pada 2008.
-- BERNAMA-KYODO
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial