PASARAN > BERITA

Pasaran Getah Ditutup Rendah Ekoran Petunjuk Serantau Bercampur-campur, Ringgit Meningkat

25/06/2025 06:47 PM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup rendah pada Rabu, berikutan petunjuk bercampur-campur daripada pasaran niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.

Beliau berkata pasaran juga diseret turun oleh kenaikan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ekoran data ekonomi AS yang hambar.

Bagaimanapun, penurunan di pasaran getah tempatan itu dihadkan oleh kenaikan semula harga minyak mentah, katanya kepada Bernama.

“Harga minyak meningkat dalam dagangan Asia pada Rabu selepas mengalami penurunan ketara sejak dua hari lepas kerana stok minyak mentah AS menyusut dan peniaga menumpukan kepada sama ada gencatan senjata yang diusahakan AS antara Israel dan Iran akan berkekalan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata data ekonomi AS suram apabila Biro Analisis Ekonomi Jabatan Perdagangan negara itu melaporkan defisit akaun semasa AS melebar untuk mencatatkan paras tinggi US$138.2 bilion pada suku pertama.

Ini berikutan perniagaan AS mempercepat import untuk mengelakkan tarif tinggi oleh Presiden Donald Trump ke atas barangan import, katanya.

Beliau berkata keyakinan pengguna AS juga lemah secara tidak dijangka pada Jun, apabila isi rumah semakin bimbang mengenai peluang pekerjaan, yang menunjukkan keadaan pasaran buruh semakin lemah susulan ketidaktentuan ekonomi yang semakin meningkat.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 berkurangan 1.5 sen kepada 692.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal susut 0.5 sen kepada 586.50 sen sekilogram.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan