Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

12 Projek Pembinaan Fasiliti Kesihatan Siap Dibina - KKM

26/06/2025 08:20 PM

PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Sebanyak 12 daripada 41 projek pembinaan fasiliti kesihatan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tahun ini telah siap dibina setakat 16 Jun lepas, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Menerusi kenyataan hari ini, KKM memaklumkan enam daripada 12 projek siap itu akan diserahkan secara rasmi oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) kepada KKM tidak lama lagi khususnya Hospital Pasir Gudang, Johor pada 29 Jun ini.

“Baki 29 projek dalam fasa pelaksanaan,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan sempena mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Kementerian (MTPK) KKM dipengerusikan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad. 

Mesyuarat MTPK KKM bertujuan menilai prestasi pelaksanaan projek pembangunan kesihatan, menyemak status projek semasa, serta menyelaras hala tuju penutup RMK12 merangkap persiapan awal KKM bagi RMKe-13.

KKM memaklumkan tahun ini merupakan tempoh pecutan akhir bagi mencapai sasaran RMK12 yang memperuntukkan RM6.74 bilion bagi pelaksanaan 290 projek baharu dan 389 projek sambungan, menjadikan jumlah keseluruhan pembangunan sejak 2021 mencecah RM25.84 bilion.

“Setakat 16 Jun lepas, prestasi perbelanjaan pembangunan KKM berada pada tahap 26.86 peratus iaitu masih di bawah purata nasional, sebanyak 36.31 peratus,” menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan mesyuarat juga membincangkan hala tuju dan tindakan lebih tegas bagi memastikan projek-projek disempurnakan mengikut jadual. 

“Ia termasuk penilaian semula terhadap keupayaan kontraktor oleh KKR melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku Agensi Pelaksana Projek Pembanguan bagi menentukan tindakan intervensi yang sewajarnya selain pemantauan yang lebih rapi,” menurut kenyataan itu. 

Sementara itu, Dzulkefly dalam kenyataan sama menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan projek mengikut sasaran dan pada masa yang sama memandang serius sebarang kekhilafan dan kelemahan dalam pengurusan serta tatakelola projek pembangunan KKM. 

“Pengurusan Tertinggi KKM serta pihak yang terlibat diingatkan untuk melaksanakan amanah dengan lebih telus, cepat dan bertanggungjawab tanpa menjejaskan akses serta kualiti perkhidmatan kesihatan kepada rakyat,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan