Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Pasaran getah Malaysia ditutup bercampur-campur pada Khamis berikutan trend meningkat dalam pasaran niaga hadapan getah serantau, kata peniaga.
Beliau berkata niaga hadapan getah Jepun meningkat bagi hari kedua berturut-turut hari ini, disokong oleh kenaikan Indeks Nikkei.
Sentimen positif itu turut disokong oleh unjuran memberangsangkan daripada Persatuan Negara-Negara Pengeluar Getah Asli (ANRPC) berkenaan pengeluaran getah asli.
“Negara anggota ANRPC menunjukkan pengeluaran getah asli global dijangka meningkat sedikit iaitu sebanyak 0.5 peratus tahun ini berbanding 2024.
“Dalam masa sama, permintaan terhadap getah asli dijangka berkembang pada kadar sederhana sebanyak 1.3 peratus bagi 2025,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, beliau berkata kenaikan seterusnya telah dikekang oleh prospek ekonomi global yang lemah akibat ketidaktentuan kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) serta konflik berterusan di Timur Tengah.
“Kebanyakan saham Asia mengalami penyusutan pada Khamis apabila kalangan pelabur memantau perkembangan gencatan senjata Israel-Iran dan kian menghampiri tarikh akhir tarif AS,” katanya.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia (LGM) melaporkan Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) meningkat 10.0 sen kepada 702.00 sen sekilogram, manakala lateks pukal turun 1.0 sen kepada 585.50 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial