KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Bursa Malaysia tinggi semasa mengakhiri sesi pagi ini berikutan sentimen dan minat untuk mengambil risiko yang lebih baik susulan perkembangan gencatan senjata antara Israel dan Iran.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.38 mata atau 0.42 peratus kepada 1,520.67 daripada 1,514.29 pada Selasa.
FBM KLCI, yang dibuka tinggi 4.38 mata kepada 1,518.67, bergerak antara 1,518.01 dan 1,524.71 sepanjang sesi dagangan.
Pasaran secara menyeluruh positif dengan 493 kaunter untung mengatasi 308 kaunter rugi manakala 431 kaunter tidak berubah, 1,211 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 1.81 bilion unit bernilai RM1.06 bilion.
Peniaga ActivTrades Anderson Alves berkata kesediaan untuk mengambil risiko kekal berdaya tahan apabila ekuiti Asia diniagakan tinggi susulan pengumuman gencatan senjata walaupun terdapat laporan pelanggaran oleh kedua-dua pihak sebelum ini.
“Pemain pasaran akan memantau rapat perkembangan di Timur Tengah untuk sebarang petunjuk ketidaktentuan geopolitik baharu,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank meningkat tiga sen kepada RM9.83, Public Bank mendatar pada RM4.31, Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM14.28, CIMB menambah tiga sen kepada RM6.80 dan IHH Healthcare menokok 12 sen kepada RM6.71.
Daripada saham paling aktif, NexG mendatar pada 35.5 sen, Reservoir Link merosot 5.5 sen kepada 25.5 sen, MYEG menambah satu sen kepada 93 sen, Tanco tidak berubah pada 94 sen dan Green Ocean berkurangan 2.5 sen kepada 23.5 sen.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 64.78 mata kepada 11,352.81, Indeks FBMT 100 meningkat 63.37 mata kepada 11,135.69 dan Indeks FBM Emas Shariah menambah 70.20 mata kepada 11,294.35.
Indeks FBM 70 naik 165.45 mata kepada 16,244.43 dan Indeks FBM ACE menambah 47.75 mata kepada 4,465.46.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 43.03 mata kepada 17,721.50, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 1.06 mata kepada 150.03, Indeks Perladangan merosot 9.95 mata kepada 7,219.08 dan Indeks Tenaga naik 1.36 mata kepada 729.25.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial