Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Ringgit ditutup hampir tidak berubah berbanding dolar AS pada Selasa berikutan pelabur kekal berhati-hati dalam keadaan konflik ketenteraan yang berterusan di Timur Tengah.
Pada 6 petang, ringgit berada pada paras 4.2390/2475 berbanding dolar AS daripada 4.2370/2450 semasa ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata gandingan ringgit-dolar terus diniagakan tidak berubah pada sepanjang hari dagangan.
Menurutnya Indeks Dolar AS (DXY) kekal di bawah paras 100 mata manakala harga minyak mentah Brent menyusut 0.46 peratus kepada US$72.89 setong.
Beliau berkata meskipun risiko geopolitik semakin meningkat, kesannya terhadap pasaran kewangan masih mudah diuruskan buat masa ini.
“Situasi di Timur Tengah akan terus menjadi perhatian peniaga dan pelabur dalam masa terdekat ini,” katanya kepada Bernama.
Mohd Afzanizam berkata keputusan mengenai dasar monetari Rizab Persekutuan Amerika Syarikat pada masa akan datang akan turut dipengaruhi oleh kejutan berkaitan tarif.
Pada penutupan dagangan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9271/9332 daripada 2.9397/9455 semasa ditutup pada Isnin, mengukuh berbanding pound Britain kepada 5.7413/7528 daripada 5.7555/7664 semalam dan menokok berbanding euro kepada 4.8986/9084 daripada 4.9077/9170 sebelumnya.
Ringgit juga lebih kukuh berbanding mata wang negara ASEAN lain.
Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 260.2/260.8 daripada 260.4/261.2 pada Isnin dan naik berbanding peso Filipina kepada 7.48/7.49 daripada 7.51/7.53 semalam.
Mata wang tempatan itu turut bertambah berbanding dolar Singapura kepada 3.3068/3137 daripada 3.3102/3167 semasa ditutup semalam dan mengukuh berbanding baht Thai kepada 13.0114/0443 daripada 13.0389/0696 sebelumnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial