Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Ketegangan Israel-Iran, Kerajaan Jamin Harga RON95 Tidak Naik

19/06/2025 06:12 PM

ISKANDAR PUTERI, 19 Jun  (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menaikkan harga RON95 meskipun berlaku lonjakan mendadak harga minyak mentah di pasaran global susulan ketegangan geopolitik melibatkan Iran dan Israel.

Beliau berkata walaupun kenaikan harga memberi manfaat kepada hasil syarikat petroleum Malaysia, kerajaan berusaha untuk tidak membebankan rakyat dengan kenaikan harga bahan api dalam negara.

“Minyak ini naik turun. Sekarang ini keadaannya rendah. (Jika) naik tu agak mendadak sedikit, hasilnya baik untuk Petronas, tapi kesan kepada negara lain. Kita tak naik harga minyak,” katanya.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan pimpinan PKR Johor di sini hari ini. 

Dalam masa sama, beliau menekankan bahawa dasar fiskal termasuk pelaksanaan semula cukai perkhidmatan dan jualan (SST) perlu dilaksanakan dengan teliti serta tidak memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah dan M40.

“Kadang-kadang orang keliru. Contohnya, disebut pisang dikenakan SST. Sebenarnya pisang import. Tapi kita akan perjelaskan. Yang penting, kita tidak mahu bebankan golongan bawah,” katanya.

Beliau turut mencadangkan jabatan dan agensi kerajaan menghidangkan buah tempatan sebagai usaha menyokong pengeluaran dalam negara.

“Kalau jamuan rasmi, jamuan pejabat kerajaan gunakan makanan, buah tempatan sahaja. Boleh saja. Sokong produk tempatan,” katanya.

Anwar berkata kerajaan bersedia untuk meneliti semula senarai barangan atau perkhidmatan yang dikenakan cukai jika wujud kekeliruan atau ketidakadilan dalam pelaksanaannya.

Mengulas lanjut isu SST ke atas institusi pendidikan, Perdana Menteri menjelaskan bahawa cukai hanya dikenakan terhadap sekolah antarabangsa yang mengenakan yuran melebihi satu amaun tertentu yang tinggi.

“Sekolah biasa, sekolah swasta yang yuran RM10,000 atau RM20,000 tidak dikenakan cukai. Tapi kalau sampai RM60,000 setahun, bayar cukailah sikit,” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa hasil cukai akan digunakan untuk membiayai keperluan rakyat seperti pembinaan sekolah dan penambahbaikan fasiliti kesihatan awam.

“Saya pergi mana-mana, hospital sesak. Sekolah pun banyak perlu baik pulih. Kita perlukan dana dan itu datang daripada cukai tetapi bukan daripada rakyat biasa, kita sasarkan golongan atasan dan asing,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan