PASARAN > BERITA

Sentimen Tarif AS Dorong Bursa Malaysia Susut 0.56 Peratus Pada Tengah Hari

13/06/2025 02:06 PM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Keyakinan pelabur, termasuk di pasaran tempatan, terus diasak tekanan dalam senario perdagangan global yang goyah selepas Amerika Syarikat (AS) mengumumkan hasrat menghantar surat perincian tarif sepihaknya kepada rakan dagang dalam tempoh dua minggu ini, sekali gus memburukkan lagi ketidaktentuan ekonomi.

Pada 12.30 tengah hari, indeks petunjuk utama Bursa Malaysia menguncup sebanyak 8.59 mata atau 0.56 peratus kepada 1,518.03 daripada 1,526.62 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka susut 4.15 mata kepada 1,522.47 dan bergerak dalam julat 1,515.10 hingga 1,522.70 sepanjang sesi dagangan.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 798 berbanding 177 manakala 357 kaunter tidak berubah, 1,089 kaunter tidak diniagakan dan 17 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 1.94 bilion unit yang bernilai RM1.07 bilion.

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) berkata sentimen pasaran secara menyeluruh kekal berhati-hati dalam ketidaktentuan berterusan mengenai perjanjian tarif AS-Malaysia yang masih belum dimuktamadkan selain musim dagangan yang lazimnya kurang memberangsangkan pada Jun.

“Keyakinan pelabur kekal tertekan dalam persekitaran perdagangan global yang goyah. Tempoh pengecualian tarif timbal balas selama 90 hari oleh AS terhadap beberapa negara dijangka berakhir pada awal Julai (dan pada hujung Ogos bagi China), selain tarikh akhir siling hutang AS yang makin hampir pada Ogos dan menjejaskan lagi ketidaktentuan pasaran,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata impak pasaran akibat rasionalisasi subsidi yang dijangka dilaksanakan oleh Malaysia pada separuh kedua tahun ini selain peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) mulai 1 Julai, berpotensi memberi tekanan terhadap trajektori pertumbuhan negara selain menjejaskan ketampakan prospek keuntungan korporat dalam masa terdekat.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank turun tujuh sen kepada RM9.70, Public Bank susut tiga sen kepada RM4.26, CIMB kehilangan empat sen kepada RM6.85, IHH Healthcare rugi dua sen kepada RM6.88, CelcomDigi turun tiga sen kepada RM3.76 namun Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM14.28.

Bagi kaunter aktif, MYEG susut 1.5 sen kepada 95 sen, Velesto menambah setengah sen kepada 18.5 sen, Tanco meningkat setengah sen kepada 96 sen manakala Sinaran Advance kekal pada 3.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas merosot 82.45 mata kepada 11,362.47, Indeks FBMT 100 susut 75.93 mata kepada 11,138.34 dan Indeks FBM Emas Shariah jatuh menguncup 79.34 mata kepada 11,318.17.

Indeks FBM 70 menguncup 162.47 mata kepada 16,340.19 manakala Indeks FBM ACE merosot 72.58 mata kepada 4,452.11.

Bagi sektor, Indeks Perladangan meningkat 35.38 mata kepada 7,229.12, Indeks Tenaga naik 13.83 mata kepada 739.96 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.29 mata kepada 150.9 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menurun 120.30 mata kepada 17,668.97.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan