PASARAN > BERITA

Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari Susulan Aktiviti Pengambilan Untung

26/05/2025 02:06 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia diniaga rendah pada sesi dagangan tengah hari ini disebabkan aktiviti pengambilan untung dalam saham wajaran tinggi terpilih di persekitaran prestasi pasaran serantau yang lemah berikutan penjualan Wall Street semalaman.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.23 mata atau 0.21 peratus kepada 1,532.15 daripada 1,535.38 pada penutupan Jumaat.

Indeks utama dibuka 0.95 mata lebih tinggi pada 1,536.33 pagi ini bagaimanapun turun naik antara 1,530.75 and 1,537.27 pada sepanjang sesi dagangan awal.

Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 554 berbanding 248, manakala 429 kaunter tidak berubah, 1,199 tidak diniagakan dan 42 yang lain digantung.

Jumlah dagangan pada 2.04 bilion unit bernilai RM792.32 juta.

Hong Leong Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan hari ini berkata FBM KLC dijangka kekal tidak menentu dalam tempoh terdekat kerana pelabur kekal berhati-hati kerana pendapatan korporat dijadual dikeluarka minggu ini, ditambah lagi dengan aliran keluar bersih asing.

“Sentimen berkemungkinan kekal lemah berikutan kebimbangan mengenai kelembapan global yang dipacu oleh tarif boleh menjejaskan momentum ekonomi dan pendapatan korporat di Malaysia.

“Mod berhati-hati ini dijangka berlanjutan sehingga perjanjian perdagangan yang jelas dan mampan dicapai antara Amerika Syarikat (AS) dan rakan kongsi utamanya termasuk Malaysia,” katanya.

Bank pelaburan itu berkata sentimen dilemahkan lagi oleh kebimbangan terhadap defisit fiskal AS yang semakin meluas, dasar perdagangan AS tidak menentu dan pendekatan bergantung kepada data Rizab Persekutuan AS untuk keputusan kadar faedah, semuanya disebabkan peningkatan risiko kemelesetan atau situasi stagflasi.

"Ketidaktentuan makro ini dijangka mengehadkan kenaikan jangka pendek dan menyekat minat risiko," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Tenaga Nasional tidak berubah masing-masing pada RM9.88 dan RM14, Public Bank menambah tiga sen kepada RM4.43, manakala CIMB dan IHH Healthcare turun satu sen masing-masing kepada each RM6.93 dan RM6.89.

Bagi saham aktif, Harvest Miracle, OCR Group dan Sapura Energy tidak berubah masing-masing pada 18 sen, 3.5 sen dan empat sen, manakala Tanco Holdings meningkat satu sen kepada 98.5 sen dan Velesto naik 0.5 sen kepada 17 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 36.24 mata kepada 11,437.81, Indeks FBMT 100 menyusut 33.73 mata kepada 11,199.36, Indeks FBM ACE merosot 30.68 mata kepada 4,585.26, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 55.35 mata kepada 11,370.86 manakala Indeks FBM 70 susut 89.43 mata kepada 16,260.83.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 19.01 mata kepada 18,121.59, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 0.70 mata kepada 153.34, Indeks Tenaga merosot 2.71 mata kepada 708.06 manakala Indeks Perladangan melonjak 2.71 mata kepada 7,333.02.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan