Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 31 Mei (Bernama) -- FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka diniagakan dalam julat yang tidak menentu antara 1,500 hingga 1,530 minggu depan, sementara menunggu perkembangan baharu berita yang boleh menggerakkan pasaran.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata sentimen pasaran dijangka kekal suram, dengan pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat.
“Dari sudut teknikal, FBM KLCI berada dalam fasa pembetulan, diniagakan di bawah purata pergerakan utama, dengan petunjuk teknikal menunjukkan kelemahan jangka pendek.
“Bagaimanapun, terdapat isyarat bahawa indeks mungkin sedang bersedia ke arah peningkatan, terutama sekiranya tekanan makroekonomi mereda dan sentimen serantau adalah lebih baik,” katanya kepada Bernama.
Thong berkata sekiranya berjaya melepasi paras 1,535, ia boleh menjadi isyarat peralihan kepada momentum pasaran yang positif.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI dijangka diniagakan dalam julat kecil tanpa kehadiran pemangkin yang jelas.
“Sekiranya indeks menyusut di bawah paras 1,500, aktiviti belian semasa harga rendah mungkin berlaku -- terutamanya terhadap saham permodalan besar yang terkurang nilai.
"Ketidaktentuan juga mungkin meningkat berikutan beberapa faktor penyebab. Pilihan raya Presiden Korea Selatan pada Selasa boleh mempengaruhi sentimen serantau manakala pelabur akan memantau dengan teliti siri pengumuman data ekonomi dari China, Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Malaysia -- termasuk kemas kini mengenai eksport, inflasi dan indeks pengurus pembelian,” katanya.
Mohd Sedek berkata Bursa Malaysia akan mengalami minggu dagangan yang singkat selama empat hari minggu depan berikutan cuti akhir minggu yang panjang sekali gus mungkin menyebabkan jumlah dagangan lebih rendah dan peningkatan ketidaktentuan pasaran.
“Pelabur perlu terus berwaspada, mengekalkan portfolio yang pelbagai dan bersedia untuk menghadapi turun naik pasaran yang sesekali berlaku memandangkan ketidaktentuan yang terus mempengaruhi landskap pelaburan,” katanya.
Mohd Sedek berkata, Mahkamah Rayuan Amerika Syarikat (AS) telah menangguhkan sementara keputusan terdahulu yang menghalang Presiden Donald Trump daripada mengenakan tarif timbal balas di bawah Akta Kuasa Kecemasan Ekonomi Antarabangsa 1977 yang menimbulkan tanda tanya terbaru mengenai hala tuju penguatkuasaan perdagangan AS pada masa hadapan.
Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya akan ditutup pada Isnin 2 Jun 2025 sempena cuti umum menyambut Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Bursa itu dan anak syarikatnya akan beroperasi semula pada Selasa, 3 Jun 2025.
Bagi minggu yang baru berakhir, Bursa Malaysia tidak meneruskan peningkatan sebelumnya apabila ditutup rendah pada Jumaat, dipengaruhi oleh tekanan jualan yang berterusan terhadap saham wajaran tinggi dan saham permodalan sederhana ketika sentimen serantau suram ekoran ketidaktentuan dasar perdagangan AS.
Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, indeks barometer menyusut 27.03 mata kepada 1,508.35 daripada 1,535.38 pada minggu sebelumnya.
Indeks FBM Emas susut 174.25 mata kepada 11,299.80, Indeks FBMT 100 rendah 172.10 mata kepada 11,061.00, manakala Indeks FBM Emas Shariah merosot 169.96 mata kepada 11,256.26.
Indeks FBM 70 pula menyusut 148.75 mata kepada 16,201.51 dan Indeks FBM ACE rendah 64.91 mata kepada 4,551.03.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 262.04 mata kepada 17,840.54, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 1.39 mata kepada 152.65 manakala Indeks Tenaga rendah 2.73 mata kepada 708.04.
Indeks Perladangan rendah 122.46 mata kepada 7,207.85 dan Indeks Penjagaan Kesihatan menyusut 16.94 mata kepada 1,816.95.
Jumlah dagangan meningkat kepada 14.80 bilion unit bernilai RM12.78 bilion berbanding 14.05 bilion unit bernilai RM11.28 bilion pada minggu sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 7.21 bilion unit bernilai RM11.50 bilion berbanding 7.14 bilion unit bernilai RM10.06 bilion
Jumlah dagangan waran menokok kepada 5.90 bilion unit bernilai RM721.75 juta berbanding 5.13 bilion unit bernilai RM645.54 juta minggu lepas.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE pula susut kepada 1.66 bilion unit bernilai RM543.90 juta daripada 1.78 bilion unit bernilai RM563.52 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial