Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Bursa Malaysia tidak dapat mengekalkan kenaikan awal selain mengakhiri minggu ini dengan prestasi yang lemah apabila tekanan jualan berterusan dalam saham berwajaran tinggi serta saham permodalan sederhana, di tengah-tengah sentimen serantau yang suram.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut sebanyak 10.63 mata atau 0.70 peratus, kepada 1,508.35 daripada 1,518.98 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks petunjuk pasaran dibuka 2.24 mata lebih tinggi pada 1,521.22 dan kemudiannya mencecah paras tertinggi harian iaitu 1,522.06 pada awal dagangan sebelum kehilangan momentum dan ditutup pada paras terendah harian.
Di pasaran lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 616 berbanding 336 manakala 417 kaunter tidak berubah, 1,025 tidak diniagakan dan 86 yang lain digantung.
Jumlah dagangan susut kepada 3.21 bilion unit bernilai RM5.04 bilion daripada 3.30 bilion unit bernilai RM2.22 bilion pada Khamis.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pasaran serantau merosot selepas Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) Scott Bessent mengumumkan rundingan perdagangan dengan China menemui jalan buntu sekali gus mengurangkan keyakinan terhadap pengurangan tarif dalam jangka panjang.
“Para pelabur sedang memantau rapat situasi ini memandangkan perkembangan lanjut dalam hubungan perdagangan AS-China boleh memberi kesan besar kepada pasaran global.
“Kami percaya dengan ketegangan geopolitik dan data ekonomi yang tidak banyak memberi jaminan, pasaran Asia mungkin kekal tidak menentu dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata walaupun terdapat petunjuk kukuh semalaman dari Wall Street, FBM KLCI gagal mengekalkan kenaikan awalnya apabila terjejas oleh aliran keluar dana asing yang berterusan serta ketidaktentuan makroekonomi dan politik yang masih berpanjangan.
“Indeks kini memadam sebahagian besar momentum awalnya, menyebabkan pulangan satu bulan susut kepada -2.0 peratus dan berlegar sedikit sahaja di atas paras psikologi utama iaitu 1,500.
“Setakat semalam, pelabur asing meneruskan jualan bersih mereka kepada 10 sesi berturut-turut,” katanya.
Beliau berkata sentimen pelabur kekal berhati-hati apabila pasaran menilai perkembangan terkini dalam kepimpinan kerajaan serta implikasinya terhadap kesinambungan dasar dan trajektori ekonomi Malaysia secara keseluruhan.
Di peringkat global, Mohd Sedek berkata ketidaktentuan mengenai dasar perdagangan AS terus menjejaskan keterlihatan pasaran.
Beliau berkata mahkamah rayuan AS bertindak menggantung keputusan terdahulu yang menghalang Presiden Donald Trump daripada menggunakan tarif timbal balik di bawah Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa 1977 sekali gus menimbulkan persoalan baharu mengenai hala tuju penguatkuasaan perdagangan AS pada masa depan.
“Semasa proses undang-undang berlangsung, perniagaan dan pasaran terpaksa mengharungi landskap perdagangan global yang lebih kompleks dan tidak menentu,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut sembilan sen kepada RM9.78, Tenaga Nasional merosot lapan sen kepada RM14.00 manakala IHH Healthcare turun satu sen kepada RM6.90. CIMB meningkat lima sen kepada RM6.93 manakala Public Bank kekal pada RM4.31.
Bagi saham aktif, KPJ Healthcare berkurang 24 sen kepada RM2.72, Velesto susut setengah sen kepada 18 sen, Tanco menguncup empat sen kepada RM1 manakala Eco-Shop dan NationGate masing-masing naik tujuh sen kepada RM1.26 dan RM1.51.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 82.53 mata kepada 11,299.80, Indeks FBM ACE susut 41.13 mata kepada 4,551.03 manakala Indeks FBMT 100 berkurang 81.02 mata kepada 11,061.00.
Indeks FBM Emas Syariah turun 109.57 mata kepada 11,256.26 dan Indeks FBM 70 menguncup 130.80 mata kepada 16,201.51.
Di seluruh sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menyusut 53.03 mata kepada 17,840.54, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun sedikit sebanyak 0.37 mata kepada 152.65, Indeks Tenaga susut 0.14 mata kepada 708.04 manakala Indeks Perladangan mengecil 86.10 mata kepada 7,207.85.
Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 1.88 bilion unit bernilai RM4.82 bilion daripada 1.56 bilion unit bernilai RM1.93 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran menurun kepada 1.00 bilion unit berjumlah RM111.49 juta berbanding 1.37 bilion unit berjumlah RM164.04 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 318.43 juta saham berjumlah RM107.68 juta berbanding 364.60 juta saham berjumlah RM120.88 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 354.31 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (280.66 juta), pembinaan (110.97 juta), teknologi (208.24 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (213.49 juta), hartanah (181.60 juta), perladangan (36.80 juta), REITs (24.92 juta), dana tertutup (23,900), tenaga (139.78 juta), penjagaan kesihatan (126.76 juta), telekomunikasi dan media (100.57 juta), pengangkutan dan logistik (21.18 juta), utiliti (90.07 juta) serta amanah perniagaan (11,200).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial