AM

JPN Tahan 12 Warga Asing Guna Kad Pengenalan Palsu Di Perak

30/03/2017 04:07 PM
PUTRAJAYA, 30 Mac (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menahan 12 warga asing termasuk lima wanita di Perak kerana memiliki kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain.



Ketua Pengarah JPN Datuk Mohd Yazid Ramli berkata dalam Operasi ID JPN di sekitar Manjung dan Setiawan semalam, kesemua individu berumur di antara 21 hingga 57 tahun itu mendakwa berasal dari Sabah.



"Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati mereka berasal dari selatan Filipina berdasarkan penggunaan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri.

"Siasatan juga mendapati mereka memperoleh kad-kad pengenalan tersebut melalui sindiket dengan harga RM300 hingga RM3,000 setiap satu," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.



Menurutnya kesemua suspek mengaku menggunakan kad pengenalan itu di antara dua bulan hingga enam tahun dan masuk ke Malaysia melalui Sandakan, Sabah.



JPN juga merampas pelbagai dokumen yang menggunakan nombor pengenalan diri palsu seperti kad identiti daripada agensi lain, pas kerja, kad ATM (mesin juruwang automatik) dan buku akaun sebuah bank komersil, pasport antarabangsa Filipina, lesen memandu yang belum disahkan ketulenannya serta Geran Hakmilik Kenderaan Motor daripada mereka.



Operasi ID JPN itu dilakukan pasukan penguatkuasaan JPN Putrajaya dengan dibantu Jabatan Imigresen Negeri Perak dan Pasukan Gerakan Am (PGA).



Mohd Yazid berkata siasatan dijalankan mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana menggunakan Kad Pengenalan Palsu dan Kad Pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri yang membawa hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA




BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan