KUALA LUMPUR, 29 Mei (Bernama) -- Tiga peguam termasuk Datuk Mohd Zaid Ibrahim hari ini gagal dalam saman mereka terhadap Badan Peguam Malaysia berhubung kenyataan memfitnah yang mendakwa mereka menyalah guna dan mencemarkan sistem keadilan semasa mengendalikan rayuan akhir Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes dana SRC International Sdn Bhd.
Hakim Mahkamah Tinggi Roz Mawar Rozain menolak saman Mohd Zaid, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam terhadap Badan Peguam Malaysia dan Presidennya ketika itu, Karen Cheah Yee Lynn, selepas mendapati plaintif gagal membuktikan bahawa kenyataan tersebut adalah bersifat memfitnah.
Beliau berkata dalam kes berkenaan, plaintif sendiri sebelum penerbitan membuat pelbagai pendedahan awam termasuk temu bual media, hantaran media sosial dan ulasan mengakui kekurangan persediaan mereka mengkritik peguam terdahulu serta memohon penangguhan yang akhirnya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.
"Mahkamah ini mendapati bahawa pada 19 Ogos 2022, kedudukan reputasi plaintif telahpun ditentukan oleh fakta yang berada dalam domain awam. Dalam keadaan ini, kenyataan-kenyataan yang dipertikai walaupun bernada tegas tidak lagi menjejaskan reputasi plaintif secara ketara melebihi apa yang telah sedia berlaku," katanya.
Roz Mawar juga berkata mahkamah mengakui reputasi profesional wajar dilindungi namun ambang undang-undang bagi sesuatu dakwaan fitnah tidak dipenuhi sekiranya kesan utama sesuatu kenyataan tidak menambah kepada kerosakan yang telah berlaku akibat peristiwa dan pendedahan tidak berkaitan secara langsung dengan kenyataan yang dipertikai.
"Mahkamah ini mendapati kenyataan-kenyataan dalam kenyataan media tersebut tidak menjejaskan kedudukan plaintif di mata masyarakat yang berfikiran munasabah. Oleh itu, tort fitnah tidak dibuktikan," katanya.
Selain itu, beliau berkata tuntutan berhubung konspirasi juga gagal dibuktikan kerana tiada bukti wujud sebarang persepakatan atau persetujuan antara defendan untuk bersama-sama mencederakan plaintif.
"Defendan kedua, selaku Presiden Badan Peguam ketika itu, telah bertindak dalam ruang lingkup kuasanya di bawah Seksyen 42(1)(d) Akta Profesion Undang-Undang apabila membuat kenyataan awam berhubung isu yang menjadi keprihatinan kepada profesion guaman," katanya yang tidak mengeluarkan sebarang perintah berhubung kos.
Menerusi saman difailkan pada 30 Sept 2022, ketiga-tiga plaintif mendakwa pada 19 Ogos tahun sama, Cheah telah secara salah dan berniat jahat menerbitkan kenyataan akhbar bertajuk Abuse of Process Brings Disrepute to Our Justice System pada laman sesawang rasmi defendan pertama dan kenyataan itu turut diterbitkan oleh The Edge Markets, Malay Mail dan The Star.
Plaintif mendakwa kenyataan itu antara lain membawa maksud mereka telah menyalahgunakan proses mahkamah dan melakukan salah laku profesional dengan menerima kes daripada Najib serta perlu berdepan prosiding tatatertib kerana menjatuhkan maruah profesion guaman.
Dakwa kesemua plaintif, aduan salah laku terhadap mereka kerana mengendali kes rayuan Najib sepatutnya dibuat dan dirujuk terlebih dahulu kepada Lembaga Tatatertib di bawah Seksyen 99(1) Akta Profesion Undang-Undang namun kedua-dua defendan melanggar kewajipan berkanun mereka dengan mengeluarkan kenyataan akhbar itu.
Pada 26 Julai 2022, Najib melantik Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) untuk mewakili beliau dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan dan hukuman di Mahkamah Persekutuan selepas menamatkan khidmat Tetuan Shafee & Co yang berkuat kuasa serta-merta.
Najib juga telah menamatkan perkhidmatan ZIST sebagai peguam caranya pada 19 Ogos tahun sama.
Bekas Perdana Menteri itu kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.
Mahkamah Tinggi pada mulanya menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kemudian memfailkan petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja pada 2 Sept 2022 yang membawa kepada pengurangan hukuman penjara beliau daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial