AM

Program Bakat MADANI Tingkat Daya Saing Negara, Mobiliti Sosioekonomi Generasi Muda

29/06/2026 06:34 PM

SEREMBAN, 29 Jun (Bernama) -- Program Bakat MADANI berpotensi meningkatkan daya saing Malaysia melalui penyediaan tenaga mahir yang memenuhi keperluan industri masa depan, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), robotik, digitalisasi dan automasi.

Pemangku Presiden Permodalan Nasional Berhad (PNB) Datuk Rizal Rickman Ramli berkata inisiatif itu penting bagi menjamin bekalan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang diperlukan negara bagi menghadapi perubahan pesat landskap teknologi, sekali gus memperkukuh daya saing negara di peringkat global.

Beliau berkata selain memenuhi keperluan industri, program itu turut memberi manfaat kepada peserta apabila membuka peluang kerjaya yang lebih terjamin, meningkatkan prospek pekerjaan serta memperkukuh kedudukan dan mobiliti sosioekonomi mereka.

"Jika kedua-dua matlamat ini dapat dicapai, Malaysia akan menjadi lebih kompetitif, manakala generasi muda pula mempunyai masa depan yang lebih baik dan cerah, selain menggalakkan penyertaan lebih banyak syarikat swasta,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu Pengurus Besar Kanan, Pendidikan dan Pelaburan Modal Insan PETRONAS, Akmal Niza Ahmad berkata bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah antara laluan yang sangat penting dalam memenuhi keperluan industri, termasuk dalam sektor tenaga, minyak dan gas.

"Kita perlu mengubah persepsi bahawa TVET adalah pilihan kedua. Dalam operasi industri, tenaga mahir seperti jurukimpal, juruelektrik, jurucas, pemasang paip serta tenaga teknikal lain memainkan peranan yang sangat kritikal. 

"Laluan kerjaya ini memerlukan kemahiran tinggi, disiplin, piawaian keselamatan yang ketat dan pendedahan kepada teknologi serta operasi yang kompleks," katanya.

 Beliau berkata TVET dilihat sebagai komponen strategik dalam pembangunan modal insan negara, malah ia bukan sekadar latihan kemahiran, tetapi satu laluan kerjaya yang bernilai, relevan dan berupaya menawarkan masa depan yang lebih baik kepada anak muda Malaysia.

Ketua Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Mohammad Ashraf Md Radzi pula berkata ekosistem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) merupakan antara sumber terbaik untuk industri mendapatkan bakat berpengalaman. 

Beliau berkata mereka mempunyai kemahiran teknikal, pengalaman mengendalikan jentera, kenderaan berat, teknologi pertahanan dan logistik, selain disiplin kerja yang tinggi hasil latihan sepanjang perkhidmatan

"Program Bakat MADANI ini sangat baik dan bertepatan dengan permintaan pasaran tenaga kerja sekarang kerana pelajar berkemahiran adalah mempunyai permintaan yang sangat tinggi," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan