AM

Lebih 32,000 Unit Kediaman Bernilai RM16.37 Bilion Siap Dibina Belum Terjual - KPKT

29/06/2026 04:10 PM

KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Sebanyak 32,800 unit kediaman yang siap dibina dengan nilai keseluruhan RM16.37 bilion masih belum terjual setakat suku pertama tahun ini, kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 15,400 unit atau 46.9 peratus terdiri daripada kediaman berharga RM300,000 dan ke bawah.

“Perkara ini menunjukkan sejumlah 53.1 peratus masih tertumpu pada rumah dalam kategori harga melebihi RM300,000.

“Keadaan ini menunjukkan bahawa isu kediaman tidak terjual bukan hanya melibatkan rumah mampu milik, tetapi turut dipengaruhi oleh ketidakpadanan penawaran dan permintaan dalam pelbagai segmen pasaran perumahan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Willie anak Mongin (GPS-Puncak Borneo) yang ingin tahu jumlah rumah mampu milik yang masih belum terjual dan kategori harga serta kadar sebenar pemilikan rumah dalam kalangan golongan muda berumur bawah 35 tahun.

Aiman Athirah berkata kadar pemilikan rumah bagi isi rumah berpendapatan rendah dalam kumpulan di Malaysia adalah sebanyak 76.3 peratus, selain itu cabaran pemilikan rumah dalam kalangan belia dan pembeli rumah pertama memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh.

Sehubungan dengan itu, katanya, kementerian sedang memperkukuh pembangunan repositori data perumahan bersepadu pada peringkat nasional bagi menyokong perancangan dan penggubalan dasar yang lebih tepat berasaskan data.

“Melalui Dasar Perumahan Negara baharu yang sedang dimuktamadkan, kerajaan memberikan penekanan kepada penyediaan perumahan yang lebih responsif kepada keperluan rakyat, pengukuhan ekosistem pembiayaan perumahan, pemantapan data perumahan bersepadu serta pengurangan ketidakpadanan antara penawaran dengan permintaan pasaran,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Willie berhubung peningkatan kos pembinaan dan harga bahan, Aiman Athirah berkata penetapan harga rumah mampu milik tidak dibuat hanya berdasarkan kos pembinaan, sebaliknya mengambil kira keseimbangan antara kemampuan rakyat untuk memiliki rumah dengan kemampanan pembangunan oleh pemaju.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah pun melaksanakan pemetaan rumah mampu milik dengan menggunakan data pendapatan median isi rumah mengikut negeri dan juga daerah berdasarkan survei pendapatan isi rumah dan kemudahan asas bagi 2024 yang telah pun diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pemetaan itu menggunakan kaedah gandaan median yang memberikan, menentukan julat harga rumah yang benar-benar mampu dimiliki mengikut kemampuan penduduk sesuatu lokaliti.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan