MELAKA, 28 Jun (Bernama) -- Industri nanas di Melaka mencatatkan peningkatan keluasan tanaman lebih 142 peratus dengan jumlah keluasan 125.7 hektar dalam tempoh lima tahun sejak 2021 dengan 197 usahawan berdaftar di bawah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh berkata daripada jumlah itu, Alor Gajah merekodkan keluasan tanaman terbesar iaitu 67.1 hektar diikuti Jasin (59.4 hektar) dan Melaka Tengah (7.2 hektar).
“Ini menunjukkan industri nanas di Melaka mempunyai potensi besar untuk terus berkembang bukan sahaja melalui pengeluaran buah segar tetapi juga produk industri asas tani, pemprosesan, eksport dan agropelancongan.
“Kerajaan negeri amat mengalu-alukan kerjasama erat daripada LPNM untuk memperkasakan usahawan tempatan, khususnya belia dan komuniti desa supaya industri nanas menjadi antara sumber ekonomi baharu yang mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Laman Bromeliad LPNM-Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) serta Penyerahan Kunci Pejabat LPNM Melaka yang dihadiri Ketua Pengarah LPNM Mohd Khairuzamri M Salleh dan Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman di sini hari ini.
Dr Muhamad Akmal berkata pembukaan Pejabat LPNM Melaka pada Ogos ini menjadi satu lagi pencapaian penting yang mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan industri nanas.
“Buat kali pertama selepas hampir 69 tahun penubuhan LPNM, pejabat LPNM Melaka dibuka di negeri ini kerana sebelum ini pejabat itu berkongsi dengan Negeri Sembilan di Seremban.
“Pejabat ini akan menjadi pusat penyampaian perkhidmatan dan pemudah cara kepada usahawan serta pengusaha nanas di Melaka kerana mereka tidak lagi perlu ke Seremban,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata petani atau pemain industri nanas yang ingin mengusahakan nanas di tanah terbiar milik kerajaan negeri boleh mengemukakan kertas cadangan untuk memperoleh Lesen Pendudukan Sementara (LPS).
Beliau berkata pada tahun ini, kerajaan negeri memberi LPS secara percuma selama setahun kepada petani atau penternak di Melaka dan mereka yang berminat perlu mengambil peluang itu.
Berhubung Laman Bromeliad, beliau berkata sebanyak 415 pokok bromeliad ditanam sebagai elemen utama landskap dan dijangka menjadi antara lokasi tumpuan baharu pengunjung untuk bergambar, bersantai serta mengetahui keunikan tanaman nanas hiasan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial