POLITIK

PRN Johor: BN, PH Tumpu Dekati Akar Umbi, Pengundi Secara Bersemuka Pada Awal Kempen

28/06/2026 04:53 PM

Oleh Hasnah Jusid

JOHOR BAHRU, 28 Jun (Bernama) -- Hari kedua kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menyaksikan parti-parti utama, khususnya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), memilih pendekatan hampir sama apabila mempergiat kempen akar umbi dengan turun padang bertemu dengan pengundi secara langsung di kawasan masing-masing.

Pemerhatian terhadap jadual kempen serta perkongsian calon menerusi media sosial menunjukkan aktiviti jelajah mesra atau walkabout di pasar awam, pasar tani, warung, restoran dan kawasan perumahan menjadi antara pengisian utama, berbanding penganjuran ceramah mega atau program berskala besar.

Bagi PH, calon di beberapa kerusi seperti Parit Raja, Kota Iskandar, Maharani, Kemelah, Endau dan Tenang memulakan kempen dengan program walkabout di pasar dan pusat komuniti.

Calon PH DUN Machap Nur Hafiz Roslan, yang berhadapan dengan calon BN yang juga Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, memilih bersarapan di warung tempatan di Simpang Renggam sambil beramah mesra dengan masyarakat. 

Program berbentuk ziarah kasih atau lawatan dari rumah ke rumah turut menjadi antara aktiviti utama kebanyakan calon, termasuk menziarahi warga emas, pesakit dan tokoh masyarakat.

BN pula menampilkan pendekatan yang hampir serupa, misalnya calon DUN Kempas, Datuk Ramlee Bohani memulakan hari dengan mengunjungi Pasar Taman Dahlia bagi menyantuni peniaga dan pengunjung.

Di DUN Larkin pula, calon BN Mohd Hairi Mad Shah mengisi hari pertama kempen dengan perjumpaan bersama-sama jentera parti, mengadakan ziarah kasih ke rumah penduduk sebelum menutup kempen dengan program Gelombang Biru yang turut dihadiri Onn Hafiz.

Menariknya, kempen pada dua hari pertama masih belum memperlihatkan serangan politik yang agresif antara parti, sebaliknya sebahagian besar program lebih tertumpu kepada usaha memperkenalkan calon, mengukuhkan jentera, membina hubungan dengan komuniti dan meningkatkan kehadiran di lapangan.

Di kerusi bandar seperti Permas, Kota Iskandar dan Larkin, calon memberikan tumpuan pada pasar, restoran, kawasan komersial dan pusat komuniti pelbagai kaum, manakala di kawasan separa bandar dan luar bandar seperti Endau, Kemelah, Machap, Maharani dan Senggarang, aktiviti lebih banyak tertumpu di kampung, masjid serta lokasi komuniti.

Usaha mendekati pengundi muda mula kelihatan apabila beberapa calon PH memasukkan program seperti pertandingan futsal, takraw, Mobile Legends dan sesi santai bersama-sama belia dalam jadual kempen, manakala BN dilihat memberikan penekanan kepada pengukuhan jentera parti serta kehadiran pemimpin negeri bagi menyuntik semangat penyokong di kawasan tumpuan.

Penganalisis politik berpendapat pendekatan yang diambil parti-parti bertanding itu mencerminkan hakikat bahawa kaedah kempen konvensional masih kekal relevan dalam landskap politik Malaysia meskipun penggunaan media sosial semakin meluas.

Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata setiap kelompok pengundi mempunyai corak penerimaan maklumat yang berbeza, dengan pengundi di kawasan bandar lebih mudah dihubungi melalui platform digital, manakala pengundi di luar bandar masih mengutamakan pertemuan secara bersemuka.

“Pengundi ini terdiri daripada pelbagai kategori. Di kawasan bandar, mereka boleh menerima maklumat melalui media sosial, tetapi di kawasan luar bandar, terutama kawasan yang lebih terpencil, calon perlu turun sendiri bertemu dengan pengundi kerana sentuhan secara face-to-face masih sangat penting,” katanya.

Mazlan berkata pendekatan itu juga penting bagi menyantuni kumpulan sasar seperti golongan B40, penduduk FELDA, masyarakat India di estet serta penjaja kecil yang lazimnya lebih menghargai kehadiran calon berbanding hanya mengikuti kempen secara dalam talian.

“Mereka mahu melihat sendiri calon, bersalaman dan mendengar apa yang calon mahu lakukan untuk mereka. Berbanding kumpulan M40 atau T20 yang mungkin lebih memberikan perhatian kepada manifesto dan dasar, kumpulan ini lebih menghargai kehadiran fizikal calon.

“Orang akan rasa lebih dihargai apabila calon datang sendiri bertemu mereka. Ada perbezaan antara melihat calon di telefon bimbit dengan bersalaman dan berbual secara bersemuka,” katanya.

PRN Johor akan diadakan pada 11 Julai, manakala pengundian awal 7 Julai ini.

Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, sila layari https://prn.bernama.com/johor/.

--  BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan