AM

Kelantan Salur RM747,000 Kepada Lebih 1,000 Pelajar Cemerlang SPM, STPM Dan STAM

28/06/2026 03:13 PM

KOTA BHARU, 28 Jul (Bernama) -- Kerajaan Negeri Kelantan memperuntukkan sebanyak RM747,000 sebagai sumbangan kecemerlangan kepada 1,494 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) tahun lepas.

Menteri Besar Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata setiap pelajar menerima RM500 sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri terhadap pencapaian akademik mereka.

Beliau berkata jumlah pelajar cemerlang pada tahun itu meningkat berbanding 1,300 pelajar pada tahun sebelumnya, sekali gus membuktikan peningkatan prestasi pendidikan di negeri itu.

"Pendidikan merupakan keutamaan kerajaan negeri, sebab itulah kita sanggup membelanjakan peruntukan yang besar bagi memastikan pembangunan pendidikan termasuk sekolah di bawah Yayasan Islam Kelantan (YIK) terus diperkasakan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan 2025 di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mohd Nassuruddin berkata selain sumbangan kecemerlangan, kerajaan negeri turut menyediakan kemudahan pinjaman pendidikan menerusi Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN) kepada anak Kelantan yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi, malah pinjaman itu akan ditukar kepada biasiswa sekiranya pelajar memperoleh keputusan cemerlang di universiti.

Pada majlis itu, pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Biji Wangsa, Tumpat, Siti Maisarah Yahya Lotfi menerima anugerah berkenaan selepas dinobatkan sebagai Pelajar Terbaik Keseluruhan STPM 2025 Peringkat Kebangsaan.

Sementara itu, mengulas isu pemilikan tanah membabitkan peneroka di kawasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) di Gua Musang, Mohd Nassuruddin berkata kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Perhutanan dan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan meneliti perkara itu secara menyeluruh.

Beliau berkata penelitian segera perlu dilakukan bagi memastikan fakta sebenar dikenal pasti sebelum sebarang keputusan dibuat termasuk dakwaan membabitkan status hak milik tanah yang dikatakan telah berubah kepada kawasan hutan simpan.

Media sebelum ini melaporkan lebih 100 peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Chalil, Gua Musang meluahkan rasa kecewa apabila tanah yang diusahakan sejak hampir 20 tahun lepas disita kerana termasuk dalam kawasan hutan simpan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan