DUNIA

OpenAI Hadkan Pelancaran Model Baharu Atas Permintaan AS

27/06/2026 12:26 PM

SAN JOSE (California), 27 Jun (Bernama-dpa) -- Pembangun ChatGPT, OpenAI mengehadkan akses kepada model kecerdasan buatan (AI) terbaharunya atas permintaan kerajaan Amerika Syarikat (AS), menurut syarikat itu pada Jumaat, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Dalam catatan blog, OpenAI berkata syarikat itu melancarkan "pratonton terhad" bagi siri GPT-5.6 yang merangkumi model Sol, Terra dan Luna.

"Sebagai sebahagian daripada kerjasama berterusan kami dengan kerajaan AS, kami telah berkongsi lebih awal mengenai perancangan serta keupayaan model-model itu sebelum pelancaran hari ini. 

"Atas permintaan mereka, kami memulakan pratonton terhad kepada sekumpulan kecil rakan kongsi yang dipercayai, yang penyertaan mereka telah dimaklumkan kepada kerajaan, sebelum diperluaskan kepada pengguna lain," menurut catatan itu. 

Syarikat itu berkata model berkenaan dijangka tersedia secara meluas dalam tempoh beberapa minggu akan datang.

"Kami tidak percaya proses akses oleh kerajaan seperti ini wajar menjadi amalan standard untuk jangka panjang. 

"Ia menghalang pengguna, pembangun, perusahaan, pasukan pertahanan siber dan rakan kongsi global yang memerlukannya daripada menggunakan teknologi terbaik," menurut OpenAI.

Awal bulan ini, pesaing OpenAI, Anthropic, turut menyekat akses kepada perisian AI terbaharunya susulan arahan kerajaan AS.

Anthropic berkata agensi kerajaan mengarahkannya menghalang semua warga asing daripada mengakses model AI Fable 5 dan Mythos 5 atas faktor keselamatan negara.

Susulan arahan itu, syarikat berkenaan terpaksa menamatkan akses kepada semua pengguna dalam tempoh singkat, menurut Anthropic.

-- BERNAMA-dpa


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan