AM

Karnival HPM Melaka Jana RM8.45 Juta Potensi Perniagaan

23/06/2026 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (HPM) 2026 yang berlangsung selama tiga hari di Melaka berjaya mencapai sasaran impak tinggi apabila merekodkan nilai keseluruhan padanan perniagaan dan potensi pembiayaan mencecah RM8.45 juta.

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam kenyataan memaklumkan karnival yang berlangsung dari 19 hingga 21 Jun itu turut menarik kehadiran 70,000 pengunjung serta mencatat jualan langsung produk usahawan berjumlah RM532,802.77.

Menurut kenyataan itu, sebanyak RM6.4 juta nilai padanan perniagaan berjaya dijana menerusi 72 sesi yang melibatkan 25 usahawan berpotensi.

Selain itu, sebanyak 55 syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) turut meraih manfaat melalui sesi interaksi kewangan yang merekodkan jumlah potensi pembiayaan bernilai RM2.05 juta.

“Susulan kejayaan penganjuran di Melaka, siri ketiga Karnival HPM 2026 dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 19 Julai ini di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC), Pulau Pinang,” menurut kenyataan itu.

Karnival HPM merupakan inisiatif di bawah agenda Hebatkan Perniagaan Malaysia yang dicetuskan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim bagi mendukung pelaksanaan misi strategik Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudah, Capaian Modal dan Daya Akses Pasaran (ABCD) ke arah memperkukuh pembangunan perusahaan tempatan.

Inisiatif itu menyediakan platform bersepadu untuk PMKS dan koperasi meningkatkan kapasiti perniagaan, mengembangkan jaringan strategik serta meneroka peluang pertumbuhan baharu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan