AM

Kerajaan Peruntuk RM9.8 Bilion Perluas Permohonan Mikro Kredit Kepada Penjaja Kecil

21/06/2026 11:15 AM

PUCHONG, 21 Jun (Bernama) -- Kerajaan telah memperuntukkan dana pembiayaan berjumlah RM9.8 bilion menerusi enam institusi kewangan utama bagi memperluas dan mempermudah akses mikro kredit kepada penjaja serta usahawan kecil di seluruh negara.

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata peruntukan besar oleh kerajaan ini bertujuan memastikan golongan peniaga kecil tidak tercicir daripada menerima bantuan modal yang mampan untuk mengembangkan operasi perniagaan mereka.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program 'Mikro Kredit Turun Padang' siri ke-4 di Pasar Tani Dataran Puchong Permai, di sini, hari ini.

Program 'Mikro Kredit Turun Padang' merupakan langkah proaktif Kerajaan untuk turun ke lapangan dan memperkasa usahawan mikro secara terus di peringkat masyarakat menerusi sesi libat urus di Pasar Tani.

“Lawatan ini boleh memberi suntikan semangat kepada institusi-institusi yang terlibat dan juga boleh kita cari jalan supaya lebih ramai penjaja kecil dapat akses kepada pembiayaan mikro,” katanya. 

Liew berkata Kementerian Kewangan (MOF) kini sedang aktif mengumpul maklum balas terus daripada para peniaga di peringkat akar umbi yang menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan untuk dibawa ke peringkat tertinggi.

“MOF akan pertimbangkan dan kita harap boleh dapat maklum balas untuk Perdana Menteri pertimbangankan semasa belanjawan,” katanya.

Antara agensi utama yang terlibat dalam menyediakan khidmat nasihat serta mempermudah proses permohonan secara terus ialah Bank Simpanan Nasional (BSN), Agrobank, Bank Rakyat, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Setakat kini, seramai 12 penjaja di Pasar Tani Dataran Puchong Permai telah berjaya menerima kelulusan pembiayaan melibatkan tujuh penerima daripada AIM, tiga daripada BSN, dan dua daripada Agrobank.

Program 'Mikro Kredit Turun Padang' di Puchong ini merupakan lanjutan daripada siri terdahulu yang diadakan di Pasar Tani Taman Melawati, Pasar Tani Kelana Jaya, dan Pasar Tani Bandar Tasik Permaisuri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan