TASEK GELUGOR, 23 Jun (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) berharap Kerajaan Negeri Pulau Pinang dapat mempertimbangkan supaya penganjuran Pesta Pulau Pinang dibuat di tanah miliknya sepanjang tempoh penganjurannya di tapak asal direhatkan selama enam tahun.
Pengerusi PERDA Datuk Dr Shaik Hussein Mydin berkata cadangan itu dikemukakan sebagai lokasi alternatif penganjuran program tersebut yang dilihat memberi manfaat kepada usahawan tempatan memandangkan PERDA mempunyai lokasi yang lebih sesuai dari segi keluasan serta kemudahan akses.
“Kawasan PERDA di Tasek Gelugor seperti di Kubang Menerong dan Ara Kuda mempunyai kelebihan strategik kerana kedudukannya berhampiran sempadan Kedah serta mudah diakses melalui Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) dan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).
“Contohnya kawasan di Kubang Menerong sesuai kerana keluasan tanah yang besar termasuk kira-kira 24 hektar yang masih belum dibangunkan selain kemudahan parkir yang banyak,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Shaik Hussein berkata cadangan itu juga telah dibincangkan dengan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan negeri Datuk Rashidi Zinol untuk dibawa ke peringkat seterusnya.
Beliau berkata lokasi itu boleh menjadi pilihan berbanding tapak sedia ada di Pulau Pinang yang sering mengalami kesesakan, khususnya ketika penganjuran acara berskala besar selain majoriti pengunjung ke Pesta Pulau Pinang di lokasi asal di Sungai Nibong datang dari Seberang Perai.
Beliau berkata PERDA juga bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi memudahkan perbincangan dan pelaksanaan jika cadangan itu dipersetujui kerana matlamat utama ialah membantu usahawan.
Penganjuran pesta itu di lokasi baharu juga dilihat sebagai alternatif sementara menunggu pembangunan infrastruktur lain di kawasan Sungai Nibong siap sepenuhnya.
Sebelum ini, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata edisi ke-59 Pesta Pulau Pinang di Tapak Pesta Sungai Nibong dari Disember 2025 hingga Januari 2026 menjadi edisi terakhir sebelum penganjurannya direhatkan selama enam tahun.
Keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada pembinaan laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara dan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) oleh MRT Corp di tapak berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial