KUALA LUMPUR, 23 Jun (Bernama) -- Bintulu Port Holdings Bhd (BPHB) memaklumkan anak syarikat milik penuhnya, Bintulu Port Sdn Bhd (BPSB), akan terus mengendalikan Pelabuhan Bintulu susulan penukaran status daripada pelabuhan persekutuan kepada pelabuhan negeri.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, pengendali pelabuhan itu menyatakan kerajaan Sarawak telah memutuskan BPSB akan menjadi pengendali sah apabila Pelabuhan Bintulu bertukar status.
“Sehubungan itu, BPSB dijangka memeterai satu perjanjian dengan pihak berkuasa sewajarnya untuk mengendali, mengurus serta memajukan Pelabuhan Bintulu,” menurutnya.
Pada 21 Jun lepas, BPSB telah memeterai perjanjian tiga pihak dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak susulan penukaran status pelabuhan berkenaan.
“Perjanjian itu bertujuan melepaskan dan membebaskan Kerajaan Persekutuan daripada sebarang tuntutan dan obligasi oleh Kerajaan Sarawak serta BPSB yang mungkin timbul daripada atau berkaitan dengan perjanjian penswastaan bertarikh 31 Disember 1992,” menurut syarikat itu.
Selain itu, BPHB memaklumkan peralihan status Pelabuhan Bintulu dan pemeteraian perjanjian tiga pihak berkenaan tidak akan menjejaskan operasi harian pelabuhan, penerusan perkhidmatan untuk pelanggan serta hak dan obligasi sedia ada BPSB di bawah aturan operasinya.
“Kumpulan ini akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan bagi menyokong proses peralihan secara lancar selain memastikan operasi pelabuhan kekal stabil, cekap dan tidak terjejas,” menurutnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial