JENAYAH & MAHKAMAH

Ops Taring: PGA Sarawak Catat 26 Kejayaan, Rampasan Lebih RM15 Juta

23/06/2026 05:54 PM

KUCHING, 23 Jun (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak merekodkan 26 siri kejayaan menerusi Ops Taring yang dijalankan di seluruh negeri dari 1 Jun hingga semalam, dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM15.14 juta.

Komander PGA Briged Sarawak SAC Lim Bak Phai berkata PGA turut menahan 39 individu bagi membantu siasatan melibatkan pelbagai kesalahan.

“Antara kejayaan tersebut termasuk rampasan produk sejuk beku tanpa permit yang sah di sekitar Kuching dan Saratok dengan nilai rampasan melebihi RM1 juta bagi setiap kes. 

“Selain itu, operasi turut berjaya menumpaskan beberapa kegiatan penyelewengan diesel di sekitar Samarahan, Sri Aman dan Bintulu yang melibatkan rampasan diesel berjumlah 45,770 liter,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Lim berkata turut dirampas tangki skid, tangki IBC, peralatan pemindahan minyak, kenderaan serta jentera yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.

Beliau berkata beberapa serbuan di Sarikei dan Padawan pula membawa kepada rampasan pelbagai jenis rokok serta minuman keras yang belum diluluskan cukai manakala di Bau, PGA berjaya mengesan cubaan menyeludup produk daging sejuk beku tanpa permit.

“Operasi turut merekodkan rampasan berkaitan pembalakan tanpa permit berserta peralatan dan jentera yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut dengan nilai rampasan berjumlah RM5.93 juta,” katanya.

Katanya, kesemua tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada agensi berkaitan termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, Jabatan Hutan Sarawak serta Polis Diraja Malaysia untuk tindakan dan siasatan lanjut.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan