PASIR PUTEH, 18 Jun (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menggagalkan cubaan menyeludup masuk rokok putih tidak bercukai selepas merampas 24 peti rokok dan tiga kenderaan dianggarkan bernilai RM212,000 di muara Sungai Kelantan pada 13 Jun.
Pengarahnya Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata kejayaan itu hasil maklumat risikan mengenai sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan pada kira-kira 9 malam, membawa kepada atur gerak aset agensi untuk pemantauan dan pencarian.
“Hasil pemeriksaan di sepanjang Sungai Kelantan, pasukan operasi mengesan sebuah bot dalam keadaan bergelap dan mencurigakan. Bagaimanapun, bot itu bertindak melarikan diri melalui laluan sempit atau lorong tikus bagi mengelak ditahan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Kamal berkata operasi pencarian diteruskan dan pada 10.02 malam, anggota operasi menemukan longgokan kotak berwarna coklat yang dipercayai mengandungi rokok tidak bercukai di tebing Sungai Kelantan berhampiran Kampung Penambang, Kota Bharu.
Susulan itu, pasukan operasi melakukan pemeriksaan di sebuah jeti kayu milik penduduk kampung serta kawasan sekitar dalam lingkungan 20 meter dari tebing sungai, dan menemukan tiga kenderaan pelbagai guna ditinggalkan yang dipercayai digunakan untuk mengangkut rokok seludup.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 24 peti rokok putih yang disyaki tidak bercukai,” katanya.
Kamal berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut atau memindahkan barang berduti, tidak berkastam atau barang larangan tanpa kebenaran.
Beliau menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di perairan dan kawasan pesisir pantai melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Ibu Pejabat APMM Kelantan menerusi talian 09-778007.
Beliau berkata operasi berterusan APMM penting bagi membanteras kegiatan penyeludupan yang bukan sahaja menyebabkan kerugian hasil negara, malah boleh mengancam keselamatan serta ketenteraman perairan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial