AM

Operasi Carilamat Dua Nelayan Hilang Di Perairan Kemaman Dihentikan

18/06/2026 03:56 PM

CHUKAI, 18 Jun (Bernama) --  Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menamatkan operasi mencari dan menyelamat dua nelayan hilang selepas bot dinaiki mereka karam di perairan Kemaman kira-kira 29 batu nautika dari Timur Kuala Kemaman, 10 Jun lepas.

Pengarah Maritim Zon Kemaman Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata operasi berkenaan yang dilaksanakan selama seminggu melibatkan pelbagai aset dan anggota daripada APMM, Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta mendapat bantuan daripada komuniti nelayan. 

“Pencarian telah dilaksanakan secara intensif meliputi kawasan ditetapkan berdasarkan maklumat kejadian, keadaan cuaca semasa dan analisis pergerakan arus serta hanyutan namun dua mangsa iaitu tekong, Azan Muda, 68, dan kru, Nordin Mohammad, 61, masih belum ditemukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi pencarian ditamatkan hari ini setelah segala usaha pencarian dilaksanakan dan hasil perbincangan bersama agensi terlibat.

Abdul Halim berkata walaupun operasi rasmi telah ditamatkan namun komuniti maritim dan nelayan diminta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang petunjuk berkaitan mangsa.

Dalam insiden berkenaan, bot nelayan dinaiki Azan serta dua kru iaitu Nordin dan Mahadi Jusoh, 51, tenggelam akibat ribut pada 12.30 tengah malam.

Mahadi bagaimanapun diselamatkan oleh nelayan lain pada 10.30 pagi keesokannya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan