DUNIA

Korea Selatan Jadi Negara Keempat Jalin Kerjasama Keselamatan AI Dengan OpenAI

17/06/2026 04:13 PM

SEOUL, 17 Jun (Bernama-Yonhap) -- Korea Selatan menjadi negara keempat menjalin kerjasama keselamatan kecerdasan buatan (AI) dengan OpenAI, pembangun ChatGPT, menurut Kementerian Sains dan ICT Korea Selatan pada Rabu, lapor Agensi Berita Yonhap.

Di bawah memorandum persefahaman yang dimeterai, Institut Keselamatan AI Korea Selatan (AISI) dan OpenAI akan bekerjasama menyediakan rangka kerja global bagi menilai keselamatan AI, menurut kementerian itu.

Kedua-dua pihak juga akan bertukar maklumat teknikal untuk membangunkan rangka kerja penilaian keselamatan AI yang mengambil kira bahasa Korea dan konteks sosial negara itu, menurut kementerian berkenaan.

OpenAI sebelum ini menandatangani perjanjian dengan makmal keselamatan AI di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Jepun.

Menurut kementerian itu, perjanjian terbaharu itu dijangka mengukuhkan kedudukan Korea Selatan dalam rangkaian kerjasama global yang bertujuan mengesahkan risiko AI termaju serta mewujudkan piawaian penilaian risiko.

AISI dan OpenAI merancang mengadakan mesyuarat di peringkat kerja bagi memuktamadkan butiran kerjasama mereka.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan