Oleh Muhammad Faiz Baharin
KUALA LUMPUR, 17 Jun (Bernama) -- Pelaksanaan model Pembelajaran Berasaskan Kerja (WBL) di institusi pengajian tinggi (IPT) dilihat sebagai pendekatan progresif dalam usaha melahirkan graduan media dan komunikasi yang kalis masa depan serta kompetitif di pasaran kerja.
Rata-rata pakar bidang kewartawanan dan komunikasi berpandangan bahawa latihan industri konvensional yang lazimnya berlangsung antara tiga hingga enam bulan ketika tahun akhir pengajian tidak lagi mencukupi untuk mengikuti kepantasan evolusi teknologi semasa.
Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Ima Liana Esa berkata menerusi WBL yang menggunakan pendekatan hibrid, pelajar tidak perlu menunggu sehingga tahun akhir untuk memahami realiti industri, sebaliknya dapat mengaplikasikan teori bilik kuliah secara terus dalam ekosistem sebenar secara masa nyata.
“Langkah progresif ini bukan sahaja merapatkan jurang kemahiran antara universiti dan industri, malah membentuk daya tahan serta kematangan mahasiswa dalam mengendalikan teknologi termaju secara praktikal sebelum melangkah ke alam kerjaya,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM telah melaksanakan konsep WBL menerusi Program 2u1i (dua tahun di universiti, satu tahun di industri) melibatkan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Penyiaran.
-- LAGI
HAWANA-WBL 2 KUALA LUMPUR
“Struktur pengajian tiga tahun ini menggabungkan empat semester pengajian akademik di kampus dengan dua semester penempatan kerja secara langsung di syarikat media atau agensi berkaitan. Saya amat menyokong agar konsep WBL ini diperluas,” katanya.
Senada dengan beliau ialah Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Pengajian Siswazah) Fakulti Sains Sosial dan Seni Liberal, Universiti UCSI, Prof Madya Dr Hamedi Mohd Adnan yang menyifatkan WBL sebagai platform terbaik untuk mendedahkan pelajar kepada operasi organisasi serta tugasan profesional sebenar.
Presiden Persatuan Editor Malaysia (PEM) itu berkata WBL turut berpotensi meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui gabungan pengetahuan teori yang kukuh serta pengalaman praktikal yang relevan dengan keperluan industri era digital dan kecerdasan buatan (AI).
“Manfaatnya kepada pelajar sangat besar. Mereka memperoleh pengalaman kerja yang lebih mendalam, membina rangkaian profesional lebih awal, meningkatkan keyakinan diri serta mengembangkan kemahiran komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah dalam situasi sebenar.
“Dalam banyak kes, pelajar yang mengikuti program ini turut berpeluang menerima tawaran pekerjaan daripada organisasi tempat mereka menjalani latihan sebelum tamat pengajian,” katanya.
Namun begitu, Hamedi menegaskan IPT tidak boleh berfungsi semata-mata sebagai pusat latihan pekerjaan kerana institusi pendidikan juga bertanggungjawab membangunkan pemikiran kritikal, asas teori, etika profesional, kreativiti serta keupayaan intelektual pelajar.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Syed Agil Shekh Alsagoff berkata model WBL merupakan masa depan pendidikan media, sekali gus menyifatkan tempoh latihan industri konvensional sebagai terlalu singkat dan bersifat pasif.
“WBL lebih relevan kerana pelajar ditempatkan di industri lebih awal dan terdedah kepada realiti perubahan teknologi secara langsung. Berbeza dengan kaedah konvensional, apa yang dipelajari di tahun pertama boleh menjadi lapuk pada tahun akhir jika tidak dipraktikkan,” katanya.
Beliau berkata pendekatan itu juga memberi kelebihan “dua dalam satu”, iaitu pelajar bukan sahaja memperoleh ijazah, malah membina portfolio kerja yang kukuh sebelum menamatkan pengajian sekali gus meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Dalam pada itu, rata-rata pakar bersetuju bahawa kurikulum kewartawanan tradisional wajar dikemas kini agar selari dengan perkembangan teknologi termasuk AI, analitik media, kewartawanan data dan teknologi komunikasi digital.
Syed Agil berkata institusi pendidikan perlu memastikan graduan mempunyai kemahiran yang seiring dengan perubahan pantas industri.
“Silibus pengajian media tidak lagi boleh bertumpu kepada teori penulisan semata-mata, sebaliknya perlu merangkumi pembangunan kecerdasan emosi dan etika, termasuk memahami psikologi audiens, sensitiviti budaya serta impak penulisan terhadap masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Komunikasi dan Media, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Ahmad Sauffiyan Abu Hasan berkata silibus pendidikan perlu diperkukuh dengan kemahiran digital bagi meningkatkan nilai komersial graduan dalam pasaran kerja.
“Antara kemahiran penting ialah pengurusan data media kerana kini berbilion data berinteraksi setiap saat sama ada dalam bentuk penerbitan, likes, post atau shares. Penguasaan aspek ini menjadi keperluan di pelbagai organisasi,” katanya.
Beliau turut mencadangkan penekanan terhadap kewartawanan penyiasatan yang memerlukan kebolehan siasatan silang antara sejarah, data dan kerja lapangan yang tidak mudah direplikasi oleh AI sepenuhnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial