SEREMBAN, 16 Jun (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperhebat tindakan pemantauan dan pencegahan terhadap sindiket penipuan dalam talian susulan peningkatan kes penglibatan pelajar universiti yang dikesan menjadi pemilik akaun keldai bagi aktiviti jenayah penipuan dalam talian.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sindiket penipuan itu dikesan semakin agresif menyasarkan golongan pelajar dengan menawarkan bayaran antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap akaun bank yang diserahkan untuk transaksi haram.
Beliau berkata trend penipuan dalam talian yang direkodkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial menunjukkan peningkatan membimbangkan dengan penggunaan akaun keldai dalam kalangan pelajar universiti semakin ketara.
“Apabila mangsa memindahkan wang ke akaun tersebut, sindiket akan segera mengeluarkan wang berkenaan sebelum membayar upah kepada pemilik akaun.
“Mereka lazimnya bergerak dari satu mesin pengeluaran automatik (ATM) ke ke ATM lain dengan memegang beberapa kad bank untuk mengeluarkan wang secara berterusan. Itu antara modus operandi asas yang digunakan oleh sindiket ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Citra Negara, Menteri Dalam Negeri: Sekolah Selamat Daerah Seremban, di sini, hari ini.
Saifuddin berkata orang ramai perlu menyedari perbuatan membenarkan akaun bank digunakan oleh pihak ketiga bagi tujuan transaksi jenayah kini merupakan satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan susulan pindaan undang-undang yang telah dilaksanakan tahun lepas.
Beliau berkata trend berkenaan turut dikesan melalui talian 997 di Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di Cyberjaya yang menggabungkan Bank Negara Malaysia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta beberapa agensi lain.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata PDRM turut memantau secara serius terhadap ancaman penyebaran fahaman ekstremisme dalam kalangan pelajar walaupun kes yang dikesan masih pada tahap terpencil.
Katanya, polis tidak mengambil ringan sebarang bentuk pendedahan kepada ideologi keganasan kerana ia berpotensi membawa kepada tindakan di luar jangkaan yang mengancam keselamatan awam.
“Kes ini saya sifatkan sebagai kes terpencil. Namun, elemen keselamatan walau sekecil mana pun tetap berada dalam radar polis dan kita menganggapnya serius,” katanya.
Beliau berkata pengalaman kes terdahulu menunjukkan pendedahan berterusan kepada bahan berunsur keganasan dan ekstremisme boleh mempengaruhi pemikiran individu sehingga mendorong kepada tindakan melampau.
Sementara itu, Saifuddin berkata Program Citra Negara: Sekolah Selamat yang dilaksanakan hari ini adalah usaha kerajaan untuk memastikan institusi pendidikan bebas daripada pelbagai ancaman termasuk jenayah, dadah, gangguan emosi dan mental, ekstremisme serta ancaman digital.
Program berkenaan melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said dengan 72 pelajar Tingkatan Enam, SMK Tengku Ampuan Durah (172 pelajar), Kolej Tingkatan Enam Tunku Muhriz (732 pelajar) serta Kolej Vokasional Ampangan (437 pelajar).
Beliau berkata golongan pelajar merupakan kumpulan paling sesuai diberikan pendedahan awal berkaitan aspek keselamatan dan pencegahan jenayah bagi memastikan mereka lebih peka terhadap ancaman semasa yang boleh menjejaskan kesejahteraan diri dan persekitaran sekolah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial